JAKARTA – Sebuah klip video tular di media sosial Indonesia memaparkan adegan seorang wanita dipukul tiga wanita lain kerana merampas pasangan orang lain, lapor laman berita Kompas semalam.
Dalam kejadian di kota Makassar, Sulawesi Selatan, tiga wanita itu pada awalnya dilihat memaki hamun seorang wanita yang disyaki sebagai perampas.
Turut berada di lokasi kejadian ialah seorang lelaki yang cuba melindungi wanita tersebut.
Tidak lama kemudian, ketika wanita yang dituduh hendak meninggalkan lokasi kejadian, dia dikejar oleh salah daripada tiga wanita tersebut yang kemudian memukulnya.
Kedua-dua mereka menarik rambut satu sama lain sebelum dua lagi wanita campur tangan lalu menumbuk mangsa beberapa kali.
Kejadian disaksikan oleh penduduk setempat termasuk kanak-kanak yang bermain di sekitar lokasi tersebut.
Ketua Polis Daerah Ujung Pandang, Syarifuddin mengesahkan kejadian itu. Pihaknya masih mengesan keberadaan mangsa yang dibelasah.
Syarifuddin berkata, selepas kejadian itu, wanita yang menjadi mangsa pukul itu tidak datang ke tempat kerjanya. Polis belum mengenal pasti identiti wanita tersebut. – Agensi