CYBERJAYA – Rakyat negara ini didapati kurang berminat dengan penggunaan kenderaan elektrik (EV) berikutan kemudahan ekosistem teknologi itu di Malaysia masih belum lengkap.
Perkara tersebut diakui Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang dengan mengambil contoh negara ini hanya mempunyai 1,000 stesen pengecas dan ia dilihat terlalu sedikit buat masa ini.
“Justeru, kerajaan perlu mempergiatkan lagi usaha kerana buat sementara waktu, kita belum ada ekosistem EV yang lengkap,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan pemeteraian kerjasama antara Alibaba Cloud bersama Agmo Holdings Berhad di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Lih Kah mengakui kekurangan bilangan stesen berkenaan menyebabkan pengeluar EV melahirkan kebimbangan untuk memasarkan kenderaan itu di negara ini.
“Sehubungan itu, kerajaan menetapkan sasaran agar menjelang 2025, Malaysia perlu ada 10,000 buah stesen pengecas bagi menggalakkan rakyat berminat membeli EV,” jelasnya.
Ditanya apakah langkah kementeriannya dalam menangani isu tersebut beliau berkata, satu pasukan petugas khas telah dibentuk diketuai Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Perindustrian.
“Pihak pengeluar kenderaan turut menyertai pasukan dibentuk itu bahkan bekerjasama dengan pihak kerajaan menggalakkan rakyat beralih kepada EV,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE