JERANTUT – Tiga buah rumah rosak teruk dibadai ribut dalam kejadian di Kampung Chap, Ulu Cheka di sini semalam.
Kejadian selama 20 minit bermula kira-kira pukul 4.30 petang itu menyaksikan rumah mangsa mengalami kerosakan teruk di bahagian bumbung.
Seorang mangsa, Haznah Sulaiman, 64, berkata, ketika kejadian dia sedang memasak ketika angin mula bertiup perlahan disertai hujan rintik.
“Lama-kelamaan keadaan mula bertukar menjadi ribut dan tidak semena-mena mula menggegar rumah saya termasuk kedengaran bunyi kuat dahan kayu yang jatuh di luar rumah.
“Ketika beredar ke arah bilik sebelah, saya sempat menoleh ke atas dan melihat atap zink berterbangan disusuli beberapa batang kayu bumbung tercabut dan jatuh,” katanya di Kampung Chap dekat sini hari ini.
Haznah berkata, selepas keadaan ribut reda, dia mendapati 20 keping atap zink jatuh berselerak di halaman rumah dan lima batang kayu bumbung tercabut.
Dalam pada itu, jirannya, Siti Liah Dollah, 82, berkata, semasa kejadian dia berada di dalam bilik dan cuma terdengar bunyi deruan angin yang kuat di atas bumbung rumah disertai beberapa dahan pokok yang patah berdekatan kediamannya.
“Kemudiannya, terdengar bunyi yang kuat di hadapan rumah mak cik, rupa-rupanya garaj kereta di hadapan sudah diterbangkan ribut yang amat dahsyat.
“Saya bersyukur kerana kejadian itu tidak merosakkan bumbung rumah saya selain saya selamat”katanya di sini hari ini.
Sementara itu, Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Damak, Haris Salleh Hamzah berkata, beliau akan membuat permohonan bantuan membaikpulih kediaman yang rosak kepada agensi di bawah kerajaan negeri.
“Dalam tempoh pemulihan selepas kejadian ini, kita akan memberikan sumbangan barang keperluan dapur dan peralatan tertentu di bawah bantuan bencana alam selenggaraan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APAM) Jerantut kepada mangsa,” katanya. – KOSMO! ONLINE