fbpx

Dosa besar putus adik-beradik kerana politik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Wan Salim.

GEORGE TOWN – Umat Islam diingatkan supaya tidak bersikap ekstrim dan terlalu taksub dalam berpolitik sehingga sanggup memutuskan hubungan kekeluargaan dengan kaum kerabat sendiri.

Itu pesanan daripada Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri yang dijangka berlangsung tidak lama lagi.

Beliau berkata, ini kerana agama Islam amat mementingkan hubungan kasih sayang antara adik-beradik dan kaum kerabat, malah ia termasuk yang jauh seperti sepupu serta yang lebih jauh lagi ikatan kekeluargaan dengan seseorang.

“Banyak ayat al-Quran dan hadis yang mewajibkan hubungan silaturrahim antara adik-beradik dan kaum kerabat serta mengharamkan perbuatan memutuskan hubungan ini.

“Memutuskan hubungan silaturrahim merupakan salah satu dosa yang besar sehingga ada hadis yang menegaskan bahawa seorang yang berbuat demikian tidak akan masuk syurga,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, hubungan silaturrahim haram diputuskan kerana perbezaan pegangan politik atau kerana berlainan parti politik yang disokong oleh masing-masing.

“Ini adalah kerana parti politik bukan ciptaan Allah yang suci daripada kesalahan dan kecelaan, tetapi ia merupakan metodologi berasaskan pemikiran manusia untuk menguasai tampuk pemerintahan dengan matlamat tertentu yang ingin dicapai.

“Silaturrahim tidak harus diputuskan walau dengan apa sebab sekalipun, hatta dengan sebab seseorang disakiti atau dianiaya oleh mana-mana adik-beradik atau kaum kerabatnya sekalipun,” ujarnya.

Dalam pada itu, jelas beliau, tidak wajar perbezaan pegangan politik membawa kepada perpecahan dalam kalangan umat Islam, apa lagi menjadi faktor yang memutuskan hubungan silaturrahim antara anggota sebuah keluarga, adik-beradik dan kaum kerabat.

“Saya sarankan para pemimpin parti politik di negara ini, baik di sebelah kerajaan mahupun pembangkang menjelaskan perkara ini kepada para pengikut masing-masing.

“Janganlah mereka menjadi batu api yang memecahbelahkan perpaduan umat Islam,”tambahnya semua pihak haruslah berusaha memperkukuhkan kesatuan dan perpaduan umat Islam termasuk daripada pelbagai kaum. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI