fbpx

740kg daging kerbau dari India dirampas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MAQIS Johor merampas 740 kg daging kerbau dari India semasa pemeriksaan dibuat di Pelabuhan Pasir Gudang, Johor, semalam.

JOHOR BAHRU – Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) telah merampas 740 kilogram (kg) daging kerbau dari India semasa pemeriksaan dibuat di Pelabuhan Pasir Gudang, di sini, semalam.

Pengarah Maqis Johor, Edie Putra Md. Yusof berkata, daging kerbau bernilai RM11,700 tersebut ditemui di dalam 37 kotak yang diletakkan dalam sebuah kontena.

Menurut beliau, pemeriksaan dibuat mendapati, nama pengimport tidak sama seperti yang dinyatakan pada sijil halal yang dikeluarkan.

“Semasa pemeriksaan dijalankan Pegawai Penguasa Maqis, mereka telah menjumpai 37 kotak daging kerbau yang mempunyai tarikh penyembelihan, tarikh pembuatan, tarikh luput di dalam sebuah kontena dari India.

“Namun pemeriksaan dibuat mendapati namanya tidak selari dengan dokumen. Perbuatan itu menjadi kesalahan di bawah Seksyen 13 Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) kerana memberi perakuan atau dokumen lain yang tidak tepat dan mengelirukan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Edie Putra lagi, seorang lelaki tempatan berusia 30-an yang bertindak sebagai ejen penghantaran telah ditahan untuk diambil keterangan sebelum dilepaskan selepas keterangan diambil.

“Maqis komited menjalankan penguatkuasaan di pintu masuk negara bagi menjamin keselamatan keluaran pertanian agar mematuhi syarat serta peraturan ditetapkan kerajaan, seterusnya memastikan biosekuriti makanan negara sentiasa terkawal dan selamat digunakan,” tambahnya.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI