fbpx

TH ada 8.9 juta pendeposit, simpanan RM89 bilion

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

MEKAH – Jumlah pendeposit Tabung Haji (TH) kini mencecah seramai 8.9 juta orang dengan simpanan menjangkau RM89 bilion.

Ketua Rombongan Haji, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, jumlah terbaharu itu menunjukkan umat Islam Malaysia menaruh harapan dan kepercayaan yang tinggi terhadap TH sebagai salah satu tonggak yang harus dipertahankan.

“Ketika mula ditubuhkan melalui Akta Parlimen pada 1963, jumlah pendeposit ialah seramai 1,281 yang menanam saham awal sebanyak RM46,610.

“Tetapi kini ia mencatatkan seramai 8.9 juta pendeposit dengan simpanan RM89 bilion. Ada pendeposit yang simpan puluhan juta dalam akaun TH miliknya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis munajat 60 tahun dan bacaan Yasin memohon kelancaran operasi masyair di sini malam tadi.

Menurut Syed Saleh, TH juga terus berjaya dan mempertahankan kepentingan umat Islam dengan melalui pelbagai perubahan dan transformasi terutama berkaitan urusan haji.

Tambahnya, penambahbaikan operasi masyair melibatkan khemah, fasiliti dan perkhidmatan juga telah banyak dilakukan sehingga jemaah benar-benar berasa selesa ketika berada di Arafah, Muzdalifah dan Mina.

“Sehingga kini, kita telah menguruskan seramai 1.5 juta jemaah menunaikan haji. Daripada zaman kapal laut hingga kapal terbang semuanya telah dilalui dengan penuh dedikasi,” katanya.

Ujar Syed Saleh, TH juga telah menerima kepuasan pelanggan paling tinggi dalam sejarah yang mencatatkan sebanyak 94 peratus pada tahun lalu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI