SHAH ALAM – Isteri kepada pelakon Hafidz Roshdi, Nurul Shuhada kecewa suaminya, menukar fikiran dan ingin terus menuntut hak penjagaan dua anak mereka iaitu Humairah dan Umar pada proses perbincangan tuntutan hadanah yang berlangsung di Mahkamah Tinggi Syariah, semalam.
Menurut Shuhada, dia mengakui terkejut dengan tindakan Hafidz yang pada awalnya bersetuju dan sepakat untuk memberi hak penjagaan penuh kepadanya namun bertukar pada saat akhir.
“Pada awalnya dia setuju dengan semua syarat termasuk beri saya jaga termasuk bermalam. Ketika ini Humairah pun berada dalam keadaan mental tak stabil semua.
“Namun selepas pegawai sulh minta kami keluar sekejap dan apabila dipanggil semula untuk tandatangan borang kuning (persetujuan), dia cakap tak setuju dengan semuanya pula,” katanya kepada Kosmo! Online di sini, hari ini.
Meskipun begitu, dia kekal dengan pendirian untuk terus melawan dan menuntut hak demi anak-anaknya.
“Ini hadanah kekal dan dia yang failkan. Sedangkan anak-anak memang dengan saya ketika ini.
“Ingatkan dia memang sudah tidak ambil tahu. Saya pun akan terus melawan untuk anak-anak saya,” katanya lagi.
Sementara, Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini menetapkan 12 September depan sebagai tarikh sebutan semula prosiding tuntutan hadanah (hak penjagaan anak) dua anak pasangan tersebut.
Pada prosiding hari ini, Suhada ditemani peguamnya Nurfarhana Abd Manaf manakala Hafidz ditemani Ummi Kartini Abd Latiff.
Terdahulu, pada 18 April lalu, Hafidz memfailkan dua hadanah (hak penjagaan) iaitu penuh dan interim (sementara) pula pada 12 Mei terhadap dua anaknya Humairah dan Umar.
Difahamkan, hadanah interim difailkan agar anak guamnya diberi hak lawatan yang tetap memandangkan setakat ini berlaku kesulitan untuk aktor itu berjumpa atau berkomunikasi dengan anak-anak.
Mahkamah Rendah Syariah di sini juga menetapkan 20 Jun ini bagi perbicaraan pengesahan lafaz cerai Hafidz dan Shuhada.
Shuhada memfailkan perceraian di mahkamah itu pada 27 Februari lalu, susulan keputusan dan persetujuan kedua-dua keluarga.
Untuk rekod, Hafidz atau dan Shuhada mendirikan rumah tangga pada 30 April 2016 dan hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan iaitu Humairah dan Umar.- KOSMO! ONLINE