PETALING JAYA – Penyanyi rap, Caprice mempersoalkan tindakan netizen yang mengutuk kehadiran pendakwah bebas, Ustaz Mohamad Wadi Annuar Ayub dalam majlis resepsi perkahwinan pasangan selebriti popular, Janna Nick dan Dini Schatzmann, hujung minggu lalu.
Katanya, tidak salah sekiranya seorang agamawan menerima undangan untuk membaca doa pada sesebuah acara termasuk, majlis perkahwinan bagi memberkati majlis.
“Ada yang marah dan kecam kenapa Ustaz Wadi hadir di majlis perkahwinan ala barat ini, kalau anda tak mahu ustaz baca doa, habis itu anda nak siapa yang baca doa?
“Baguslah ada orang yang nak berdoa untuk kita. Kita semua sebagai umat Islam kena sentiasa doa yang terbaik untuk umat Islam termasuklah yang masih ‘jahat’ ini. Insya-Allah,” katanya menerusi perkongsian video di Instagram.
Malah akui pemilik nama sebenar Ariz Ramli itu, kehadiran agamawan pada majlis seumpama itu wajar dilihat secara positif yang berkemungkinan besar dapat membawa manfaat kebaikan kepada pengantin dan jemputan.
Baginya yang turut aktif sebagai penceramah motivasi, personaliti terbabit antara tokoh agama yang selalu mendekati golongan selebriti dan kerap membuka ruang kepada golongan ini menyertai majlis ilmu.
“Kalau anda perasan, Ustaz Wadi memang rapat dengan artis dan pempengaruh media sosial. Bagi saya tiada masalah kerana perkara ini bagus.
“Mana tahu disebabkan Ustaz Wadi, terjentik hati artis-artis di Malaysia ini untuk cuba ubah ke arah lebih baik. Insya-Allah kita tak tahu,” katanya.
Terdahulu, pada 10 Jun lalu, pasangan popular Janna dan Dini melangsungkan pernikahan di sebuah masjid di Langkawi sebelum diraikan di sebuah resort terkemuka di pulau peranginan itu.
Mengenakan gaun berserta layah panjang rona putih, aktres tersebut berjalan beriringan dengan suaminya yang turut mengayakan sut senada untuk ke pelamin bersempena persandingan mereka.
Melihat busana serta gambar sekitar acara resepsi, rata-rata beranggapan majlis berkenaan meniru budaya Barat sehingga menyifatkan pasangan pengantin tidak sensitif apabila turut mengundang seorang agamawan.
Selepas laman sosial dipenuhi pelbagai kritikan membabitkan majlis berkenaan, Wadi Annuar yang menyedari dirinya terkena tempias kontroversi tampil memberi penjelasan.
Figura terkenal itu memaklumkan beliau memutuskan meninggalkan majlis lebih awal sebaik selesai menyempurnakan tugas sebagai pembaca doa sebelum meminta diri untuk pulang.
“Saya dijemput untuk menghadiri dan membaca doa, tapi sewaktu saya sampai di situ, pengantin masih belum tiba.
“Saya pun belum tengok pengantin lelaki dan perempuan pada hari itu kerana kami dibawa untuk duduk di satu tempat.
“Kemudian saya baca doa. Pada ketika itu pengantin masih belum tiba. Namun, selepas beberapa minit, baru diumumkan ketibaan pengantin.
“Selepas melihat pengantin, saya beritahu pembantu peribadi: ‘Kita kena balik sat gi (kejap lagi), ustaz tak dapat nak teruskan majlis’, katanya dalam siaran langsung di media sosial, semalam.
Katanya lagi, pendekatan diambilnya adalah berpatutan kerana tidak mendatangkan aib kepada penganjur majlis berkenaan, selain mengikut apa yang disarankan Islam. – KOSMO! ONLINE