PETALING JAYA – Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), syarikat pengurusan unit amanah milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB), meraikan para pemenang utama Kempen Jom Auto Labur tahun lalu yang bermula pada Oktober hingga Disember 2022.
Kempen kali kelima itu menyediakan hadiah keseluruhan bernilai RM255,000 kepada 719 orang pemenang.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif ASNB, Muzaffar Othman percaya pihaknya telah berjaya meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan pelaburan dan perancangan kewangan.
“Ini dapat dilihat menerusi penyertaan positif dalam Auto Labur yang mencatatkan sejumlah RM292 juta sejak dilancarkan empat tahun lalu.
“Kempen Jom Auto Labur kali kelima ini telah mencatatkan sebanyak 6,348 transaksi dengan potongan berjumlah RM2.6 juta,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pemenang hadiah utama dari Sibu, Farisha Fran Anak Patrick, yang memenangi sebuah Perodua Alza 1.5 AV berkata, pemotongan minima Auto Labur sebanyak RM50 adalah sesuai dengan kemampuannya dan mendorong beliau untuk berdaftar.
“Pada masa yang sama, saya juga rasa selesa untuk melabur di ASB,” ujarnya.
Kemudahan Auto Labur di platform myASNB memanfaatkan perkhidmatan Direct Debit untuk memudahkan pelabur membuat pelaburan berkala secara automatik untuk akaun unit amanah mereka sendiri, akaun minor (Akaun Bijak/Remaja) dan pihak ketiga yang layak.
Diperkenalkan buat pertama kali pada tahun 2019, Auto Labur membantu para pelabur melabur secara konsisten mengikut kemampuan kewangan masing-masing melalui potongan terus daripada akaun bank pelabur tanpa sebarang caj. – KOSMO! ONLINE