PETALING JAYA – Penyanyi hip hop Bunga Isme teruja dan tidak menyangka apabila dipilih menjadi penyanyi yang bakal membuat persembahan pembukaan di konsert kumpulan terkenal Coldplay di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 22 November nanti.
Bunga atau nama lengkapnya Noor Ayu Fatini Mohd Bakhari ketika dihubungi Kosmo! Online berkata, dia telah ditawarkan dengan peluang itu sejak dua bulan lalu ketika tiket konsert Coldplay belum lagi dijual di Malaysia.
“Saya menerima tawaran daripada pihak Coldplay sendiri sejak dua bulan lalu. Alhamdulillah saya sangat gembira dan terkejut apabila ditawarkan untuk membuat persembahan pembukaan untuk kumpulan muzik terkenal dunia itu.
“Saya sendiri meminati dan membesar dengan lagu-lagu Coldplay. Sudah tentu tawaran yang saya terima ini tidak akan disia-siakan,” katanya kepada Kosmo! Online.
Bercakap lebih lanjut, penyanyi berusia 23 tahun itu memberitahu dia bakal menyanyikan sekurang-kurangnya tiga buah lagu untuk konsert pembukaan itu nanti.
“Saya mungkin akan menyanyikan sebanyak tiga buah lagu antaranya Intan Payung dan Buai. Tapi saya belum sempat untuk membuat sebarang persiapan kerana sibuk dengan pelajaran buat masa sekarang.
“Mungkin selepas Aidiladha nanti baru saya akan mula berlatih,” katanya.
Selain berasa sangat gembira, Bunga tidak dapat menyimpan perasaan gugup dan berdebar kerana bakal menyanyi di hadapan kira-kira 85,000 orang penonton sewaktu konsert itu nanti.
Kata Bunga, dia tidak pernah menyanyi di hadapan penonton seramai itu sehingga membuatkan perasaannya berdebar-debar menanti hari persembahan itu nanti.
“Seramai 85,000 orang penonton bakal membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil pada 22 November nanti. Saya tidak pernah menyanyi di hadapan penonton seramai itu.
“Lagi pun ini kali pertama saya bakal menyanyi di Stadium Nasional Bukit Jalil. Doakan semoga semuanya berjalan lancar,” ucapnya.
Masih mengekalkan konsep serta identitinya, Bunga berkata dia mahu mempromosikan imej Malaysia pada hari persembahan itu nanti dan akan menggayakan baju kurung yang selama ini menjadi ‘peneman’ persembahannya di atas pentas.
Pada Mei lalu, Coldplay mengumumkan bakal mengadakan konsert jelajahnya di beberapa negara Asia termasuk Jepun, Taiwan, Indonesia, Australia dan Malaysia bermula 6 November depan.
Singapura menjadi satu-satunya negara Asia yang terpilih menjadi lokasi konsert Coldplay selama empat hari berturut-turut bermula 23 hingga 27 Januari 2024.
Demam konsert Coldplay berterusan sehingga mencetuskan pelbagai kontroversi termasuk beberapa agamawan yang membantah penganjuran dan lambakan ulat tiket. – KOSMO! ONLINE