PADANG BESAR – Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) menerusi Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) menyasarkan penanaman biji benih kenaf di tanah seluas 300 hektar di negeri ini, tahun ini.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Siti Aminah Aching berkata, proses penanaman tersebut melibatkan seramai 150 peserta.
Katanya, sasaran penanaman itu adalah selaras dengan misi untuk menjadikan Pusat Pemprosesan Biji Benih Kenaf di Beseri, di sini berfungsi sebagai hub pengeluaran biji benih kenaf yang berkualiti.
“Ia adalah bagi menjamin kemampanan bekalan benih kepada industri dengan kemampuan memproses biji benih melebihi 100 metrik tan,” katanya ketika ditemui pada program Trek Komoditi Zon Utara KPK di Pusat Pemprosesan Biji Benih Kenaf di Beseri, di sini semalam.
Menurutnya, selaras dengan transformasi pekebun kecil sektor kenaf, LKTN memperkenalkan konsep pengeluaran berasaskan produktiviti kepada pekebun kecil, koperasi dan syarikat swasta.
Pada program sama, Siti Aminah menyaksikan sesi pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara LKTN dan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa).
Katanya, MoU itu bertujuan mengukuhkan kerjasama dalam program pembangunan industri kenaf melalui gerakan koperasi. – KOSMO! ONLINE