MELAKA – Segala nasihat dan tunjuk ajar daripada bekas pemimpin UMNO yang berada di luar parti akan dijadikan panduan untuk memperkuat dan memperkukuhkan parti.
Ketua Pemuda UMNO, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, walaupun tidak lagi bersama UMNO, jasa mereka kepada parti tetap ada dan tidak boleh dinafikan sesiapa.
Katanya, untuk maju ke hadapan, UMNO memerlukan gaya politik matang dan progresif supaya bergerak lebih jauh.
“Saya ucap terima kasih atas pujian yang diberikan dan ambil maklum semua nasihat yang diberikan, apa sekali pun sudah tentu UMNO memerlukan bantuan daripada semua pihak untuk sama-sama mengembalikan kepercayaan rakyat kepada UMNO.
“Tanggungjawab ini bukan tugas Presiden dan Timbalan Presiden parti semata-mata, tetapi tugas orang UMNO dan orang yang masih sayangkan UMNO tapi berada di luar,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Bayaran Insentif Sara Hidup Kepada Nelayan di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai pujian diberikan Khairy Jamaluddin, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman atas ketegasannya ketika berucap pada Perhimpunan Agung UMNO 2023, baru-baru ini.
Tambah Dr. Muhamad Akmal, walaupun beliau menerima pandangan dan tunjuk ajar pemimpin yang lebih senior, ia tidak bermaksud dirinya mengikut telunjuk sesiapa. – KOSMO! ONLINE