BUDAPEST – Jurulatih Juventus, Andrea Pirlo menuduh para pemainnya terlalu ego dan mudah berasa selesa biarpun berjaya membenam cabaran Ferencvaros 4-1 pada aksi Liga Juara-Juara awal pagi semalam.
Penyerang pinjaman, Alvaro Morata terus mempamerkan aksi cemerlang dengan meledak dua gol, manakala Paulo Dybala turut mencatat nama sebagai penjaring sementara satu lagi gol adalah jaringan sendiri pemain tuan rumah.
Bagaimanapun, Ferencvaros berjaya meraih gol saguhati pada minit ke-90 menerusi Franck Boli selepas benteng Juventus gagal mengeluarkan bola dalam situasi bahaya dengan baik sekali gus meleburkan rekod tanpa bolos kali keempat berturut-turut.
“Kami berpuas hati dengan keputusan ini tetapi kami sepatutnya mampu beraksi dengan lebih baik. Kami melakukan banyak kesilapan dan ia perlu diperbetulkan.
“Saya banyak bercakap dengan pemain tetapi pada akhirnya mereka yang akan menentukannya di padang.
“Kami sepatutnya lebih merendah diri dan tidak terlalu ego serta membunuh perlawanan ini lebih awal.
“Kami tidak sepatutnya juga bermain sambil lewa pada penghujung perlawanan biarpun sudah mendahului dengan selesa sehingga memberi peluang mereka menjaringkan gol,” katanya.
Dalam pada itu, Pirlo turut mengakui bahawa Juventus berdepan masalah untuk mempelbagaikan taktikal kerana berdepan masalah kecergasan dan kecederaan pemainnya.
“Kami bermain dengan dua penyerang serta dua pemain sayap ketika ini. Apabila semua pemain berada pada tahap kecergasan terbaik, kami akan menilai taktikal yang perlu digunakan.
“Setakat ini tidak semua pemain berada dalam keadaan 100 peratus cergas, jadi adalah satu perkara biasa jika kami menggunakan sistem penggiliran dan akan ada pemain yang terpaksa direhatkan,” jelasnya. – AGENSI