PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin hadir ke Parlimen esok bagi mendengar penjelasannya berhubung perjanjian sempadan maritim dengan Indonesia yang ditandatangani baru-baru ini.
Perdana Menteri berkata, gesaan Muhyiddin untuk mendengar penjelasan mengenai perjanjian itu akan dijawab esok pada sesi Soal Jawab Perdana Menteri (PMQ) di Dewan Rakyat.
“Saya akan jawab dan biar dia (Muhyiddin) ada di situ untuk hujah. Esok saya ingat pada sesi PMQ dan harap dia hadir,” katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara di Bangunan Perdana Putra di sini tadi.
Sebelum ini, Muhyiddin menggesa Anwar membuat penjelasan perjanjian itu yang ditandangani ketika lawatan kerja Presiden Indonesia, Joko Widodo ke Malaysia.
Gesaan itu dibuat susulan Perdana Menteri didakwa tidak mengendahkan pandangan pakar maritim yang menasihatkan supaya beliau tidak menandatangani perjanjian berkenaan. – KOSMO! ONLINE