KAJANG – Seorang wanita sarat mengandung nyaris maut selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan kereta dipandunya dengan sebuah Proton Saga di Jalan Sg Lalang, Batu 21 1/2, Kg Sg Lalang, Semenyih di sini, hari ini.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Mohamadul Ehsan Mohd. Zain berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan itu pada pukul 7.02 pagi.
Menurutnya, seramai lima anggota serta sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semenyih bergegas ke lokasi kejadian.
“Tiba di lokasi kejadian, kami mendapati kemalangan melibatkan dua buah kenderaan yang bertembung iaitu sebuah kereta jenis Honda City dan sebuah kereta jenis Proton Saga.
“Kereta Honda City yang dipandu wanita tempatan sarat mengandung tidak mengalami sebarang kecederaan manakala pemandu Proton Saga seorang lelaki tempatan tersepit di bahagian pemandu.
Menurut Mohamadul Ehsan, kerja-kerja mengeluarkan kedua-dua mangsa berusia lingkungan 30-an itu sedang dijalankan oleh anggota bomba. – KOSMO! ONLINE