IPOH – Kerajaan meluluskan peruntukan berjumlah RM3.46 juta bagi enam projek naik taraf kemudahan awam di kawasan Parlimen Ipoh Barat dan Ipoh Timur.
Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, sebanyak RM2.46 juta daripada jumlah itu disediakan oleh kementeriannya, selebihnya merupakan peruntukan Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).
Menurutnya, peruntukan tersebut melibatkan beberapa kerja menaik taraf infrastruktur termasuklah di Pasar Awam Kampung Simee di sini.
“Peruntukan yang diluluskan ini merupakan performance-based bajet atau peruntukan yang berlandaskan kepada perlaksanaan bagi memastikan perkhidmatan dan fokus KPKT terhadap kesejahteraan rakyat dapat terus dipertingkatkan. Tidak ada pembaziran, ketirisan dan pemborosan.
“KPKT melalui Jabatan Kerajaan Tempatan akan sentiasa bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan di seluruh negara bagi merealisasikan perancangan pembangunan demi meningkatkan mutu perkhidmatan serta kesejahteraan rakyat,” katanya kepada pemberita di Pasar Awam Kampung Simee, di sini hari ini.
Menurutnya, selain naik taraf pasar awam bernilai RM1 juta, peruntukan tersebut turut membabitkan penggantian salur air di Dataran Niaga Taman Cempaka dan menaik taraf jalan termasuk kerja-kerja pelebaran di Persiaran Lapangan Siber 1, Bandar Seri Botani.
Katanya, peruntukan tersebut turut digunakan menaik taraf Jalan Sungai Pari, Buntong, menaik taraf jalan serta kerja-kerja berkaitan di kawasan Rumah Pangsa First Garden, Silibin dan membina longkang baharu di Lorong Isaac, Buntong.
“Kesemua projek berkenaan akan dimulakan pada Julai 2023 oleh MBI dan dijangka disiapkan seawal hujung tahun ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE