fbpx

Jangan mudah terpedaya janji manis iklan kerja kosong luar negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Saifuddin (kanan) melawat tapak projek pembinaan jambatan baharu di Sungai Ular, Kulim, hari ini.

KULIM – Rakyat diminta tidak mudah terpengaruh dengan iklan kerja kosong di luar negara yang menawarkan pelbagai manfaat terutama gaji lumayan kerana dikhuatiri didalangi sindiket penipuan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, sindiket didapati licik memperdaya mangsa menerusi iklan di media sosial antaranya menawarkan tiket penerbangan percuma, upah lumayan serta tempat tinggal selesa.

“Sebaik sampai di sana (luar negara), mangsa mendapati mereka tidak mendapat seperti apa yang ditawarkan dalam iklan sebelum ada yang sempat menghubungi pihak berkuasa.

“Keluarga kepada mangsa juga akan melaporkan bahawa anak mereka hilang atau minta diselamatkan,” katanya pada sidang akhbar selepas melawat projek pembinaan jambatan baharu di Sungai Ular, di sini hari ini.

Kata beliau, bagi menyelesaikan perkara tersebut, polis akan menggunakan pendekatan iaitu antara kerajaan dengan kerajaan iaitu melalui Wisma Putra.

“Kita akan menghubungi kerajaan berkenaan tidak kiralah Thailand, Laos, Kemboja, Myanmar hatta Dubai pun, kemudian kita akan melaui kaedah melaui pihak berkuasa iaitu polis.

“Kalau negara itu di bawah ASEAN, kita akan guna Polis ASEAN (ASEANAPOL), akhir sekali apabila kita sudah kesan kita akan bawa balik, itu tumpuan utama pasukan polis,” ujarnya.

Kosmo! hari ini melaporkan kehilangan seorang wanita, Chong Sum Yee, 22, yang mengembara seorang diri ke Thailand sejak 29 Mei lalu mencetuskan tanda tanya termasuk mengenai kemungkinan dia menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan di Myanmar.

Kebimbangan itu disuarakan sendiri ibu mangsa, Chee Choy Won, 50, selepas menerima panggilan telefon daripada Sum Yee yang memberitahu dia kini dalam keadaan sihat dan bahagia.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, kata Saifuddin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Negeri Kedah, projek pembinaan sebuah jambatan baharu di Sungai Ular, di sini yang bernilai RM9.3 juta akan disiapkan pada Oktober tahun hadapan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI