fbpx

Biasiswa JPA bidang perubatan, pergigian, farmasi diteruskan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar

GEORGE TOWN – Kerajaan memberi jaminan program biasiswa di bawah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) khususnya untuk pelajar jurusan perubatan, pergigian dan farmasi akan diteruskan, selepas ini.

Jaminan itu diberikan sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menghadiri program Temu Anwar di Dewan Tuanku Syed Putra, Universiti Sains Malaysia (USM) bersama penuntut universiti itu, di sini hari ini.

Menurut Anwar, beliau telah mengadakan perjumpaan khas dengan JPA dan meminta agar perkara tersebut dikaji semula.

“Jadi maknanya, program biasiswa dengan JPA untuk seterusnya akan diteruskan,” katanya ketika menjawab soalan yang dikemukakan oleh seorang penuntut Kampus Kesihatan dari USM Kubang Kerian, Kelantan, yang hadir pada program berkenaan.

Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini memaklumkan akan mengadakan perbincangan lanjut dengan JPA berhubung keputusan untuk menghentikan penajaan jabatan berkenaan kepada pelajar dalam ketiga-tiga bidang kritikal itu.

Ini susulan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali sebelum itu bahawa penghentian tersebut dibuat berikutan kajian KKM mendapati bekalan pegawai perubatan akan mengalami kebanjiran mulai tahun 2026 hingga 2030.

Terdahulu, Anwar tiba kira-kira pukul 4.30 petang dan meluangkan masa selama sejam setengah untuk bersoal jawab bersama ribuan mahasiswa serta mahasiswi universiti dalam program itu.

Selain soalan tersebut, Anwar sempat menjawab beberapa soalan lain yang dikemukakan oleh peserta yang hadir termasuk keperluan untuk mewujudkan semula sudut pidato khususnya di USM, isu pengangkutan di universiti serta elaun mahasiswa.

Pada masa sama, beliau turut memperjelaskan mengenai isu doktor kontrak serta beberapa isu lain yang dibangkitkan oleh peserta program.

Sementara itu, Anwar juga sempat ‘menyindir’ Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berhubung isu pemilikan Pulau Pinang oleh Kedah.

“Kalau nak jadi pemimpin, jangan main suara politik picisan. Kena guna ilmu untuk ‘selamatkan’ rakyat,” katanya ketika menghuraikan mengenai tradisi ilmu khususnya berkaitan budaya membaca dalam kalangan generasi muda ketika ini.  KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI