fbpx

5 beradik teruskan legasi keluarga jadi sahabat maktab

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MUHAMMAD MUAZUL AMIN (dua dari kanan) bergambar bersama tiga lagi ahli keluarganya ketika ditemui di Hotel Al Fajer Al Badia 2, Mekah semalam.

MEKAH – Lima anak muda meneruskan legasi keluarga apabila memilih untuk menjadi sahabat maktab hujjaj lantikan Tabung Haji (TH) sebagai memberi khidmat membantu jemaah lain yang memerlukan pertolongan.

Pegawai Hal Ehwal Islam Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan Labuan, Muhammad Muazul Amin Mohd. Adlan, 27, berkata, legasi itu dimulai ibunya, Norazwana Mat Yusop, 58, ketika wanita itu menunaikan haji pada 2008.

Katanya, ia kemudian dite­ruskan bapa saudara dan saudara mara lain juga akan berbuat demikian sekiranya mereka mengerjakan haji.

“Ada dua sebab mengapa kami memilih untuk menjadi sahabat maktab. Pertama mahu mendapat haji mabrur dan jika tak dapat, cukuplah dapat bantu orang memperoleh darjat tersebut.

“Keduanya kami mahu me­nyambung legasi ahli keluarga yang secara sukarela mendaftarkan diri sebagai sahabat maktab. Sebelum kami berangkat, ibu dan saudara ada berpesan supaya kami mendaftar,” katanya ketika ditemui di Hotel Al Fajer Al Badia 2, di sini semalam.

Sahabat maktab dibahagikan kepada tiga kategori iaitu hujjaj, medik dan ibadat.

Selain Muhammad Muazul Amin, kakaknya, Fairuz Kha­lily, 29, (auditor) Ain Raihan, 31, (suri rumah) bersama suami masing-masing, Muhammad Afiq Roshide, 33, (guru) dan Muhammad Nu’man Basyir, 29, (doktor) turut dilantik sebagai sahabat maktab hujjaj.

Kakaknya, Ain Adilah, 32, (guru) dan suaminya, Khairun Nas Rahmatan, 30, (peguam) turut mengikut jejak yang sama ketika menunaikan haji pada 2019.

Bagi Dr. Akmal Hisyam Arshad, 39, dia memilih menjadi sahabat medik untuk menyumbang tenaga dan pemikiran demi berbakti kepada jemaah lain.

“Pengalaman selama 15 tahun sebagai pakar perubatan di Hospital Universiti Teknologi Mara Puncak Alam, Selangor akan dipraktikkan untuk membantu orang lain.

“Ini juga dikira ibadat dan saya sudah bersedia dari segi mental serta fizikal membantu orang dalam cuaca panas terutama ketika masyair nanti,” katanya yang mengetahui mengenai sahabat maktab menerusi rakan setugasnya.

Sementara itu, Ketua Rombongan Haji, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, seramai 315 jemaah daripada sembilan maktab yang sihat te­lah dilantik menjadi sahabat untuk membantu melancarkan lagi operasi kali ini.

“Program ini bermula 2006. Sahabat ibadat dipilih bagi mereka yang mempunyai latar belakang agama, hujjaj (sukarelawan) dan medik (perubatan). Mereka akan bekerjasama de­ngan 670 petugas TH menguruskan dan memastikan kelancaran aktiviti terutama ketika operasi masyair di Arafah, Muzdalifah serta Mina,” katanya.

Menurut beliau, TH menerima hampir 1,000 permohonan menandakan ramai yang ­ingin berbakti kepada jemaah lain.

Tambahnya, sahabat medik tidak dibawa untuk program ziarah rahmah bilik ke bilik tetapi khidmat mereka lebih diperlukan dalam situasi tertentu terutama operasi masyair bermula 27 Jun ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI