MANCHESTER – Legenda Manchester United, Andy Cole memberi amaran kepada pengendali pasukan itu, Erik Ten Hag bahawa kehadiran Harry Kane dan Mason Mount belum pasti mampu untuk merapatkan jurang kelab berkenaan dengan Manchester City.
Pemenang gelaran trebel bersama United itu percaya bahawa pengurus pasukan itu memerlukan dana lebih £170 juta (RM986 juta) lagi untuk mendapatkan beberapa muka baharu selain Kane dan Mount bagi memastikan projek musim baharu nanti berjaya.
“Jika Kane ke United, tugasnya adalah untuk mendapatkan jaringan. Tetapi, membawa masuk seorang pemain untuk mendapatkan gol tidak mampu membuatkan anda memenangi kejuaraan.
“City memenangi saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini bukan kerana Erling Haaland seorang. Anda perlu melihat bagaimana gol yang dijaringkan itu berpunca, bahagian tengah adalah kawasan yang perlu diberikan perhatian untuk menghasilkan permainan yang baik.
“Jika United berjaya mendapatkan Kane, mereka mempunyai peluang memenangi liga, namun seorang pemain tidak mampu memberikan perbezaan. Sebab itulah kelompok pasukan teratas tidak hanya membeli seorang pemain,” katanya.
Sementara itu, Cole seakan tidak bersetuju dengan cadangan bekas kelabnya itu untuk mendapatkan khidmat Mount kerana menganggap pemain berkenaan tidak mampu memberikan impak besar.
“Seperti yang saya katakan sebelum ini. Sasarannya adalah untuk merapatkan jurang dengan City. Adakah anda fikir City akan membeli pemain seperti Mount untuk menjadikan mereka lebih baik?” jelasnya. – AGENSI