PARIS – Pemain bukan pilihan, Karolina Muchova mengakui tidak kecewa selepas tumpas berdepan pemain ranking No. 1 dunia, Iga Swiatek pada aksi Terbuka Perancis kelmarin.
Pemain kelahiran Republik Czech tersebut turun ke pentas final dengan semangat luar biasa selepas menewaskan pemain nombor dua dunia, Aryna Sabalenka pada aksi separuh akhir.
Biarpun memperagakan aksi cukup baik di pentas final semalam, namun ia masih belum cukup untuk menandingi Swiatek sebelum tewas dengan keputusan 6-2, 5-7, 6-4.
Pemain berusia 26 tahun itu mengakui dia puas dengan penampilan di Paris dan menganggap ia satu pencapaian yang menakjubkan.
“Untuk menggelarkan diri saya sebagai finalis Grand Slam adalah satu pencapaian yang menakjubkan dan pastinya memberi motivasi besar kepada diri saya pada masa hadapan.
“Saya harap keputusan ini dapat memberi motivasi untuk saya terus bekerja keras pada masa hadapan dan mendapat peluang sekali lagi untuk turun beraksi memburu gelaran besar seperti ini,” kata Muchova.
Muchova mengakui perjalanannya untuk melangkah ke pentas final bukan sesuatu yang mudah terutama terpaksa bergelut dengan kecederaan sepanjang kariernya, termasuk di peringkat junior.
Muchova pernah melangkah ke peringkat separuh akhir Terbuka Australia 2021, namun dikecewakan dengan isu kecederaan.
“Saya sangat bermotivasi dan saya fikir mampu untuk memburu kejuaraan besar pada masa hadapan. Saya pasti akan cuba untuk berada di sini lagi,” tambahnya. – AGENSI