ISTANBUL – Jurulatih Inter Milan, Simone Inzaghi percaya tuah tidak menyebelahi mereka ketika tewas 0-1 kepada Manchester City pada perlawanan akhir Liga Juara-Juara di Stadium Olimpik Ataturk awal pagi semalam.
Meskipun memberikan tentangan sengit kepada City sepanjang perlawanan tersebut, namun gol tunggal menerusi Rodri pada minit ke-68 memastikan pasukan Serie A itu pulang dengan tangan kosong.
Bagaimanapun, Inzaghi mengakui, beliau kecewa dengan kekalahan itu kerana menganggap Inter lebih berhak untuk membawa pulang trofi memandangkan mereka lebih banyak melakukan percubaan tepat ke arah pintu gol City.
“Secara jujur, memang kami kecewa kerana kekalahan adalah perkara paling teruk dalam sukan terutamanya bola sepak, tetapi saya enggan salahkan pemain-pemain. Mereka sudah berikan segala-galanya hari ini (semalam).
“Saya tahu pemain-pemain lebih kecewa dengan kekalahan ini, tetapi mereka perlu bangga kerana sudah memberi tentangan sengit kepada salah sebuah pasukan terbaik di dunia. Kami tidak layak untuk kalah,” katanya.
Pada perlawanan itu, walaupun City menguasai permainan, namun Inter beberapa kali mengancam pintu gol The Citizens apabila melakukan enam percubaan tepat berbanding City yang hanya melakukan empat percubaan tepat.
Selepas ketinggalan 0-1, Inter melakukan apa termampu bagi menyamakan kedudukan, terutamanya menerusi tandukan Federico Dimarco yang terkena palang selain percubaan Romelu Lukaku diselamatkan penjaga gol, Ederson.
“Semua orang boleh lihat kami berada sebaris dengan City. Saya tidak kesal untuk membimbing pasukan ini kerana pemain-pemain sudah membuktikan mereka layak menyarung jersi Inter,” ujar Inzaghi.
Walaupun gagal memenangi saingan Liga Juara-Juara, namun Inter masih boleh berbangga apabila mereka menamatkan saingan musim ini dengan gelaran berganda selepas menjulang Piala Super Itali dan Piala Itali.
Untuk rekod, ini adalah kali pertama Inter melayakkan diri ke perlawanan akhir selepas melakukannya pada 2010 di bawah bimbingan Jose Mourinho yang menyaksikan mereka muncul juara. – AGENSI