BALING – Kerajaan telah mencapai persetujuan dengan Indonesia untuk membawa isu diskriminasi perdagangan minyak sawit oleh Kesatuan Eropah (EU) ke peringkat ASEAN.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, perkara itu akan dibawa oleh Indonesia selaku Pengerusi ASEAN untuk dibincangkan di peringkat tersebut.
“Ia merupakan diskriminasi dan salah satu bentuk sekatan perniagaan yang mana kita gerakkan misi ini secara bersama dalam usaha untuk mempertahankan industri minyak sawit,” katanya pada sidang akhbar selepas bertemu pekebun kecil di ladang getah Kampung Charok Gorok di sini hari ini.
Beliau yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Presiden Indonesia, Joko Widodo yang mahu kerjasama lebih erat antara kedua-dua negara dalam menentang diskriminasi minyak sawit.
Kenyataan itu dibuat selepas Presiden Indonesia itu bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mengadakan lawatan kerja ke Malaysia baru-baru ini.
Kata Fadillah, kedua-dua negara akan terus mempertahankan industri minyak sawit daripada diskriminasi tersebut susulan pelaksanaan Peraturan Bebas Penebangan Hutan (EUDR).
“Seorang pegawai dari EU akan datang ke Malaysia berhubung isu ini pada minggu hadapan. Ia lebih kepada siri perbincangan yang mana kita akan minta supaya sebarang garis panduan (oleh EU) yang akan dikeluarkan nanti mestilah mengambil kira pandangan kita,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE