fbpx

KBS harap ramai atlet OKU ke Olimpik Khas Dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NNAH (tengah) bersama barisan atlet dan pegawai yang akan menggalas cabaran negara di Sukan Olimpik Khas Dunia 2023 yang akan berlangsung di Berlin, Jerman.

MENTERI Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menyuarakan hasrat untuk melihat sambutan lebih menggalakkan terhadap Sukan Olimpik Khas Dunia dalam usaha mengetengahkan lebih ramai bakat Orang Kelainan Upaya (OKU) menyertai temasya tersebut.

Bagi merealisasikan hasrat tersebut, beliau berkata, pihaknya di bawah Majlis Sukan Negara (MSN) akan terus memberikan sokongan yang diperlukan, terutamanya dalam pencarian bakat serta kejurulatihan.

“Harapan saya adalah untuk Sukan Olimpik Khas Dunia ini mendapat lebih banyak lagi sambutan di Malaysia dengan adanya ramai pembabitan atlet yang memiliki kad OKU. Pencarian bakat ini, saya pasti sedang berlangsung. 

“Daripada pihak KBS, saya dan MSN akan melihat apa lagi bantuan yang boleh diberikan, khasnya kepada jurulatih kerana untuk sukan ini, ia bukan mudah. Kita akan lihat apa sokongan yang boleh diberikan kepada jurulatih,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan Jalur Gemilang kepada kontinjen Malaysia di Petaling Jaya hari ini. 

Seramai 16 atlet cacat intelektual bakal menggalas cabaran negara di Sukan Olimpik Khas Dunia 2023 yang akan berlangsung di Berlin, Jerman bermula 17 hingga 25 Jun ini meliputi beberapa jenis sukan termasuk renang, olahraga, ping pong dan boling. 

“Kita ada 16 atlet yang akan pergi dan kali ini MSN memperuntukkan lebih kurang RM160,000 untuk bantuan penerbangan serta sumbangan bagi membantu atlet kita dan mereka juga menerima tajaan daripada syarikat-syarikat korporat.

“Saya harap atlet tahu seluruh negara berada di belakang dan meraikan mereka. Kita adakan majlis penyerahan Jalur Gemilang untuk memaklumkan bahawa Olimpik, Paralimpik, Olimpik Khas dan juga Deaflympics, kita mahu mereka tahu Malaysia di belakang mereka,” ujarnya.

Pada edisi empat tahun lalu yang berlangsung di Abu Dhabi, Emiriyah Arab Bersatu (UAE), kontinjen negara menghuni tangga ke-29 daripada 47 negara selepas meraih satu pingat emas, lima perak dan empat gangsa.

Sementara itu, Hannah turut menjelaskan persediaan bagi penganjuran Le Tour de Langkawi (LTdL) 2023 yang dijadualkan berlangsung September depan sedang giat dijalankan MSN selaku penganjur untuk edisi kali ini. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI