PETALING JAYA – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin terharu kerana menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN), ceramah-ceramah PN mendapat sambutan hangat dari rakyat.
Beliau yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, puluhan ribu rakyat menyertai program Ceramah Perdana Gelombang Kebangkitan Rakyat Negeri Sembilan di Senawang malam tadi.
“Seperti mana program sama di beberapa negeri lain sebelum ini, saya merasa terharu. Saya percaya gelombang kebangkitan ini akan diterjemahkan dalam bentuk sokongan kepada PN dalam enam PRN tidak lama lagi.
“Ini kerana seluruh rakyat melihat dan merasai apa yang sedang berlaku dalam negara ketika ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri mendakwa, kos sara hidup semakin menghimpit, harga barang keperluan harian naik dan terus menekan kehidupan, ringgit merudum dan ekonomi negara seolah-oleh tiada hala tuju.
Dakwa beliau, keadaan itu membuktikan kerajaan campuran PH-UMNO gagal membawa negara keluar daripada kemelut ekonomi yang menjejaskan kehidupan rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah.
Dakwa beliau juga, segala janji yang ditabur sewaktu Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) tidak dilaksanakan walaupun sudah enam bulan menjadi kerajaan.
“Rakyat sudah tidak tahan dengan keadaan ini dan saya ingin mengajak rakyat Negeri Sembilan dan lima negeri lain mengundi PN sebagai referandum bantahan rakyat kepada Kerajaan Campuran kerana gagal mengurus negara.
“Jadikanlah PRN nanti sebagai satu isyarat bahawa rakyat marah dengan apa yang sedang berlaku,” katanya.
Beliau menegaskan pemimpin-pemimpin politik dalam PN termasuk daripada Pas akan terus bersama dan istiqamah dalam perjuangan PN. – KOSMO! ONLINE