JOHOR BAHRU – Nombor pendaftaran plat kenderaan ‘FF 1’ sah menjadi milik Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dengan nilai bidaan RM1.2 juta.
Menerusi perkongsian Menteri Anthony Loke Siew Fook di laman Facebooknya, beliau telah menyerahkan sendiri plat kenderaan kepada Sultan Ibrahim hari ini.
“Pagi tadi, saya menghadap DYMM Sultan Johor Sultan Ibrahim untuk mempersembahkan secara simbolik nombor plat FF 1 kepada Tuanku yang merupakan pemilik nombor khas unik tersebut.
“Tuanku telah perkenan untuk membayar kepada kerajaan sebanyak RM1.2 juta untuk nombor khas tersebut.
Untuk rekod, bayaran RM1.2 juta merupakan nilai tertinggi yang pernah dikutip setakat ini oleh kerajaan untuk pendaftaran satu nombor plat kenderaan. Bayaran ini menjadikan jumlah kutipan hasil kerajaan untuk nombor siri FF meningkat ke RM35.4 juta,”tulisnya.-KOSMO! ONLINE