KUALA LUMPUR – Ratu Rock negara, Ella melakar sejarah tersendiri apabila menerima pengiktirafan Most Concert Tickets Sold Out: 10,000 Tickets in 24 Hours oleh Malaysia Book of Records.
Pengiktirafan tersebut diberikan kepada Ella atau nama lengkapnya Nor Zila Aminuddin selepas Konsert Jilid Akhir Ella: Puteri Kota yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil, di sini, malam tadi.
Ella ketika ditemui usai konsert menzahirkan rasa bangga dengan pengiktirafan tersebut dan berterima kasih kepada pihak yang memberi penghormatan kepadanya.
“Saya menghargai dan berbangga atas penghormatan dan penghargaan serta sokongan daripada peminat dan kerana itu saya ucapkan terima kasih,” ujarnya.
Penyanyi berusia 56 tahun itu juga menjelaskan bahawa ini bukanlah konsert penamatnya sebagai anak seni seperti yang didakwa ramai pihak.
“Ini bukan konsert terakhir saya, sebaliknya cerita mengenai konsert ini akan menjadi pelengkap jilid terakhir dalam buku saya yang akan dikeluarkan nanti,” katanya.
Menerusi konsert sempena 35 tahun kerjaya nyanyiannya itu, Ella mempersembahkan lagu-lagu popularnya sejak awal pembabitannya dalam arena muzik tanah air.
Penyanyi yang terkenal dengan perwatakan manja itu membawakan 36 buah lagu termasuk lagu hits seperti Sembilu, Sepi Sekuntum Mawar Merah, Layar Impian, Nuri dan Permata Biru.
Tidak sekadar menghiburkan peminat dengan persembahan solo, Ella turut tampil berduet dengan suaminya, Azhar Ghazali menerusi lagu Peace Love Rindu serta legenda rock tanah air, Datuk Amy Search menerusi lagu Dua Insan Bercinta.
Masih bertenaga dan vokal kekal menyengat, ramai rakan artis yang turut hadir tanda memberikan sokongan kepada Ella termasuklah Ziana Zain, Misha Omar, Noryn Aziz, Datuk Sheila Majid dan Rozita Che Wan.
Tiket Konsert Jilid Akhir Ella: Puteri Kota malam tadi sold out dihadiri lebih 10,000 penonton. Malam ini, Ella akan menyambung hari kedua persembahan di lokasi yang sama. – KOSMO! ONLINE.