Mugello, Itali – Pelumba Ducati, Francesco Bagnaia memberi amaran menjelang perlumbaan sebenar esok selepas melakar kemenangan pada perlumbaan sprint di Grand Prix (GP) Itali sebentar tadi.
Biarpun dikatakan tidak cergas sepenuhnya akibat kecederaan buku lali susulan kemalangan di GP Perancis bulan lalu namun, pelumba Ducati tersebut membuktikan dia antara pencabar terhebat ketika menjulang kemenangan di laman sendiri.
Meskipun diasak hebat oleh juara dunia MotoGP, Marc Marquez (Repsol Honda) dan Marco Bezzecchi (Mooney VR46 Racing Team) pada awal perlumbaan, ia tidak menjejaskan rentak Bagnaia apabila pelumba Ducati itu bijak menutup segala ruang untuk mencipta kemenangan di Litar Mugello sekali gus mengutip 12 mata penting.
“Ia agak menakutkan pada permulaan perlumbaan terutama dengan hujan. Saya perlu berhati-hati dan tidak panik. Secara keseluruhan saya menikmati perlumbaan ini,” kata pelumba Itali tersebut.
Hasil keputusan tersebut, Bagnaia dilihat kembali bersemangat selepas dia kini mendahului empat mata di hadapan Bezzecchi menjelang pusingan keenam esok.
Kemenangan tersebut pasti melonjak keyakinan Bagnaia ketika bersaing di laman sendiri apabila akan memulakan saingan dipetak utama sejurus mencatat pusingan terpantas pada sesi kelayakan dengan rekod baharu iaitu satu minit 44.855 saat (s).
Bagaimanapun, Bagnaia perlu berhati-hati kerana menemaninya di barisan hadapan ialah Marquez dan Alex Marquez dari Gresini Racing MotoGP. -KOSMO! ONLINE