fbpx

PAU 2023: Sajak Wan Rosdy untuk Najib jadi tumpuan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Wan Rosdy.

KUALA LUMPUR – Tanpa dapat berselindung dengan kesedihan selepas bekas ‘bos besar’ UMNO peringkat negeri Pahang, Datuk Seri Najib Tun Razak menjalani hukuman penjara ketika ini, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, menitipkan sebuah sajak khas kepada Perdana Menteri ke-6 itu.

Dalam sesi ucapan penggulungan beliau, Naib Presiden UMNO itu turut meluahkan rasa rindu dan turut menzahirkan perjuangan keadilan dan pembelaan terhadap bekas Presiden parti tersebut sebelum ini.

“Semalam, kita telah menyaksikan kesungguhan dan kelantangan Presiden di hadapan Perdana Menteri, dalam memperjuangkan keadilan, buat tokoh pemimpin yang kita kasihi, lagi kita rindui, iaitu Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak.

“Ketika itu, saya berasa amat terharu, sedih dan pilu. Malah, jelas ramai dalam kalangan para perwakilan yang menitiskan air mata, terkesan raga dan jiwa, marindui aura kepimpinan Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, biarpun beliau berada nun jauh di sana, di sebalik tembok besi.

“Jujur dan ikhlas saya katakan. Ketika satu Malaysia menzahirkan rindu kepada Datuk Seri Najib; kami dari Pahang, 1,000 kali lebih rindu kepada susuk tubuh yang cukup berjasa ini,” jelasnya hari ini.

Tambah beliau, di Pahang, laksana patah perahu, kemudi hanyut kerana susuk tubuh Najib yang selama ini sentiasa menjadi sumber kekuatan kepada mereka.

“Susuk tubuh inilah, yang acap masa menjadi sumber inspirasi buat kami. Susuk tubuh inilah yang setiap detik, menjadi sumber pencetus semangat buat kami.

“Kepada Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, percaya dan yakinlah, bahawa kami sentiasa bersama Datuk Seri,” katanya.

Tatkala Datuk Seri berteleku di balik tirai besi,
Tatkala Datuk Seri dibelenggu sunyi dan sepi,
Tatkala Datuk Seri keseorangan tanpa sesiapa di sisi…
Kami di sini sentiasa mengingati,
Membicara, merindui dan menginsafi,
Berdoa tanpa henti memohon ke hadrat Ilahi,
Agar tertegaknya kesaksamaan buat Datuk Seri,
Dikurnia keadilan yang tiada terperi,
Bersemi hikmah dan kebenaran yang hakiki,
Agar nama baik Datuk Seri tiada tercemar lagi… insya Allah! – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI