fbpx

Saksi nampak motosikal ‘terbang’ sebelum dihempap pokok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan di lokasi kejadian pokok tumbang yang mengorbankan nyawa seorang penunggang motosikal di Lebuh Raya Tun Dr. Lim Chong Eu, George Town semalam.

GEORGE TOWN – Pengguna kenderaan di Lebuh Raya Tun Dr. Lim Chong Eu di sini mendakwa ternampak motosikal jenis Yamaha Y15 seperti terbang sebelum terjatuh atas bonet kereta jenis Mercedes-Benz dalam kejadian ribut semalam.

Kejadian pada pukul 1.30 pagi itu menyebabkan sebatang pokok tumbang dan menghalang laluan menuju ke Jambatan Pulau Pinang dan Bayan Baru.

Penunggang motosikal, Muhammad Wafiq Zikry Mohd. Farid Amirol Shah, 18, meninggal dunia di lokasi tersebut.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Perak, Fadzil Mohamad berkata, setibanya di lokasi kejadian, pihak­nya dimaklumkan berlaku kejadian puting beliung.

“Mengikut keterangan saksi, pokok tersebut tumbang semasa penunggang motosikal dan pemandu kereta melalui jalan tersebut. Kejadian itu berlaku serentak.

“Kebetulan ada kenderaan melalui jalan tersebut. Sebuah motosikal diterbangkan angin kuat sebelum terjatuh ke atas bonet kereta Mercedes-Benz.

“Pada masa sama, pokok di kiri jalan tumbang dan menghempap motosikal tersebut serta sebuah lagi kereta jenis Perodua Myvi di laluan sama,” katanya di sini semalam.

Fadzil memberitahu, pemeriksaan di lokasi kejadian mendapati sebuah lagi motosikal jenis LC 135 di bawah pokok berkenaan dan penunggangnya disahkan mati di lokasi kejadian.

“Penunggang motosikal Y15 pula patah paha kiri. Kejadian turut menyebabkan penunggang motosikal Yamaha Avantiz patah kaki manakala pembonceng wanita cedera ringan.

“Kesemua mereka dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP),” jelasnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong memberitahu, kejadian itu melibatkan dua buah kereta dan tiga buah motosikal.

“Penunggang motosikal yang berusia 18 tahun disahkan me­ninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala, manakala tiga individu lain pula cedera.

“Enam lagi individu lagi tidak mengalami sebarang kecede­raan,” katanya.

Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI