KATHMANDU, Nepal – Seorang wanita dari China yang nyaris maut semasa mendaki Gunung Everest enggan membayar yuran menyelamat AS$10,000 (RM46,140) kepada pemandu arah Sherpa yang menyelamatkannya, lapor portal berita South China Morning Post hari ini.
Tindakannya menyebabkan dia mendapat kritikan hebat daripada netizen di Tanah Besar China. Dua lagi pendaki gunung China yang membantu menyelamatkan mangsa pula terpaksa membayar bayaran menyelamat tersebut, demikian menurut laman berita cqcb.com.
Wanita itu ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri pada ketinggian 8,500 meter dekat puncak Everest di Zon Kematian.
Menurut media China, mangsa yang berusia 50 tahun dan berasal dari wilayah Hunan, tengah China itu ditemui oleh pemandu arah Sherpa ketika dia mengiringi seorang pendaki dari China menuju ke ‘bumbung dunia’ itu, petang 18 Mei lalu.
Pendaki yang dikenali dengan nama Fan bersetuju membantu menyelamatkan Liu dan dengan berbuat demikian, dia memilih meninggalkan impiannya untuk menakluki Everest.
Sherpa dan pendaki itu hanya berjaya mengalihkan Liu sejauh 200 meter.
Fan kemudian pergi bersendirian untuk mendapatkan bantuan dan berjumpa dengan Xie Ruxiang iaitu ahli Persatuan Pendaki Gunung Wilayah Hunan.
Ruxiang bersetuju untuk membantu menyelamat mangsa dan meninggalkan rancangannya untuk sampai ke puncak gunung tersebut.
Dia mendakwa bahawa pemandu Sherpanya pada mulanya keberatan untuk membantu sehingga dia menawarkan ganjaran AS$10,000 menyebabkannya bersetuju untuk berbuat demikian. – Agensi