fbpx

Pertemuan 52 kembar di bandar Braunau

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Lebih 50 pasangan kembar berhimpun di Branau, Austria selama tiga hari yang bermula pada Jumaat lalu. - Foto Vikend

VIENNA, Austria – Perhimpunan kembar seiras kali ke-39 diadakan di bandar Braunau, Austria dan menyaksikan penyer­taan 52 pasangan adik-beradik dari seluruh Eropah, lapor portal berita Vikendi kelmarin.

Perhimpunan tersebut bermula kelmarin dan akan berlangsung hingga hari ini. Kemuncak majlis itu ialah acara bergambar berkumpulan. Ia menyaksikan pasangan kembar seiras berke­naan berpakaian sedondon untuk merakam gambar kenangan.

Namun, terdapat juga pasangan kembar yang hadir berseorangan dalam kalangan mereka.

“Saudara kandung saya, Alfons meninggal dunia 10 tahun lalu. Bagaimanapun, kami selalu menyatakan bahawa seorang daripada kami boleh menghadiri festival bersendirian jika yang lain sudah tiada,” kata Johann Winkler dari Aibling, Jerman.

Lelaki berusia 75 tahun itu mengambil bahagian dalam pertemuan tersebut pada tahun 1984. Dia tidak hadir hanya empat kali sepanjang perjumpaan kembar seiras itu diadakan sebelum ini.

Pertemuan kembar seiras di Eropah itu diadakan sejak tahun 1984 di bandar kelahiran bekas diktator, Adolf Hitler yang membawa Jerman ke kancah perang Dunia Kedua sebelum tewas kepada tentera Berikat pada tahun 1945.

Antara mereka yang hadir pada pertemuan kali ini ialah Andi dan Hans Maier dari Bava­ria dan pasangan kembar wanita dikenali dengan nama Sima Sisters dari Vienna.

“Itu nama pentas kami,” kata Sissi Sima dan kembarnya, Moni Forbelsky yang berpakaian sedondong daripada kepala hingga ke kaki.

“Kami sentiasa melakukan semua perkara bersama-sama. Kami adalah penari balet profesional dan berlakon dalam video Falco untuk lagu Rock Me Amadeus. Sekarang kami adalah guru tadika,” kata pasangan yang tidak dapat dipisahkan itu pada perhimpunan ke-36 mereka di Braunau.

Satu lagi pasangan kembar seiras, Barbara Ulrich dan Andrea Stangl yang berusia 64 tahun dan berasal dari Leibnitz, Jerman sebaliknya, kali pertama menyertai pertemuan tersebut.

Pasangan kembar Hamza dan Ali Mugrabi pula mempunyai sejarah perjalanan yang sangat jauh. Mereka yang berusia 36 tahun dan dilahirkan di Jordan te­lah banyak mengembara sebelum menetap di Hamburg, Jerman.

Secara kebetulan, hanya terdapat satu pasangan kembar yang berlainan jantina iaitu Josef dan Maria Weiss, masing-masing berusia 66 tahun dari Switzerland.

“Perangai kami jauh berbeza. Sebaliknya, adik-beradik Heidi dan Doris Rahm mempunyai ba­nyak persamaan,” kata mereka.

Kedua-dua wanita berusia 59 tahun itu berkahwin dengan juga pasangan kembar seiras, Hans dan Peter Rahm.

Mereka bertemu semasa pertemuan kembar itu kira-kira 30 tahun lalu.

“Kami pernah menyatakan sebagai kanak-kanak bahawa kami juga mahu berkahwin dengan pasangan kembar,” kata mereka secara serentak.

Pertemuan kembar Eropah dianjurkan oleh Max Strafinger dengan majoriti pasangan kembar itu datang dari Jerman, Austria, dan Switzerland. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI