fbpx

Cadangan harga lantai getah RM3 sekilogram ke Kabinet

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Fadillah Yusof (tengah) memasang bendera kenderaan pada sesi 'flage off' Perasmian program Trek Komoditi 2023 di Kuala Kangsar, Perak hari ini. - Foto oleh ZULFACHRI ZULKIFLI/ KOSMO!

KUALA KANGSAR – Kerajaan akan mempertimbangkan cadangan menaikkan harga lantai getah sekerap sekurang-kurangnya kepada RM3 sekilogram berbanding RM2.70.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, cadangan itu akan dibawa ke dalam mesyuarat Kabinet akan datang namun ia bergantung kepada kemampuan kerajaan.

“Setakat ini berdasarkan kemampuan kerajaan yang ada ialah RM2.70 sekilogram namun ada juga permintaan daripada pekebun kecil kita yang kata kalau dapat dinaikkan sekurang-kurangnya RM3, atas alasan input untuk perladangan sekarang sudah naik khususnya baja dan sebagainya.

“Dari situ mereka melihat bahawa jika harga RM3 sekilogram, ia balik modal, itu merupakan apa yang mereka harapkan. Jadi saya akan membawa perkara ini ke peringkat kerajaan, ke Kabinet dan akan mencadangkan pada Kementerian Kewangan untuk melihat sama ada perkara ini boleh dipertimbangkan atau tidak, mengikut kemampuan sedia ada kerajaan,” katanya dalam sidang akhbar pada Majlis Pelancaran Trek Komoditi 2023 di sini hari ini.

Sebelum ini, kerajaan sudah melaksanakan harga lantai getah RM2.70 sekilogram seperti diumumkan dalam pembentangan Belanjawan 2023 pada Februari lalu.

Sementara itu, mengenai program Trek Komiditi 2023, Fadillah berkata, ia bertujuan untuk kerajaan bertemu dengan pemegang taruh dan juga semua pelanggan yang terlibat dalam sektor perladangan dan komoditi.

Tambahnya, ia juga merupakan peluang untuk beliau berjumpa dengan pihak kerajaan negeri untuk bertukar-tukar pandangan, melihat ataupun mendapat maklum balas daripada keseluruhan rantaian komoditi iaitu daripada pihak kerajaan sama ada di peringkat negeri mahupun di daerah, juga pemain industri hiliran. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI