PARIS – Jaguh tenis Serbia, Novak Djokovic dalam landasan terbaik untuk menoktahkan rekod gelaran Grand Slam ke-23 selepas berjaya mengatasi pemain No. 1 dunia, Carlos Alcaraz pada aksi separuh akhir Terbuka Perancis pagi semalam.
Pada saingan tersebut, nasib ternyata tidak menyebelahi Alcaraz selepas bintang Sepanyol itu mengalami kekejangan otot pada kaki kanannya selepas berjaya menyamakan kedudukan pada set kedua perlawanan.
Djokovic yang mengakui tertekan untuk memburu gelaran Grand Slam dilihat tidak memberi belas kasihan apabila menamatkan cabaran juara Grand Slam Terbuka Amerika Syarikat (AS) 2022 tersebut dengan kemenangan 6-3, 5-7, 6-1, 6-1.
“Tekanan sentiasa di bahu saya. Saya akui ia adalah sebahagian dari cabaran sukan dan juga hidup saya. Saya fikir mempunyai tekanan adalah satu keistimewaan dan juga sumber motivasi.
“Sebelum kejohanan saya katakan sudah tentu bagi saya Roland Garros adalah Grand Slam paling penting. Jadi saya telah bersedia dengan baik untuk menghadapi pertempuran seperti ini.
“Saya harap dengan kemenangan ini saya boleh meneruskan aksi tahap terbaik pada hari Ahad ini (hari ini). Satu-satunya perkara yang boleh saya katakan sekarang ialah saya sangat fokus dan hanya memikirkan untuk memenangi perlawanan seterusnya.
“Apapun, Alcaraz seorang pemain yang baik dan dia baru berusia 20 tahun. Jadi, dia ada banyak masa untuk bangkit untuk melakar kemenangan seterusnya.
“Saya sangat menghormatinya dan dia juga mempunyai jurulatih yang hebat, pasukan orang yang hebat di sekelilingnya. Jika dia berjaya mengekalkan kesihatan dengan baik saya yakin dia akan melakar kejayaan selepas ini,” kata Djokovic.
Hasil kemenangan tersebut, Djokovic dijangka tidak berdepan sebarang masalah untuk
berdepan pemain Norway, Casper Ruud selepas pemain berusia 36 itu telah melakar empat kemenangan dalam empat pertemuan sebelum ini.
Sebagai rekod, kali terakhir Djokovic melakar kemenangan ke atas Ruud pada tahun lepas di ATP Final di Itali dan juga ATP Master 1000 Rome, Itali. – AGENSI