PUTRAJAYA – Kerajaan akan mempertimbangkan inisiatif penanaman bagi meningkatkan pengeluaran padi negara secara lima musim untuk tempoh dua tahun sebagai usaha menambah baik ekosistem agromakanan negara.
Menerusi hantaran di laman Facebook Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan, perkara berkenaan diputuskan pada Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Sekuriti Makanan Negara (JKSMN) Kali ke-3 Bilangan 1 Tahun 2023 dipengerusikan oleh beliau semalam.
Katanya, kerajaan akan menilai kaedah pelaksaan bagi memastikan cadangan dapat direalisasikan dengan segera.
“Mesyuarat juga turut membincangkan usaha mempertingkatkan peranan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dalam menjadi agensi utama menjamin ketersediaan bekalan makanan,” katanya hari ini.
Ujarnya, pada mesyuarat itu juga turut bersetuju dengan cadangan untuk memodenkan aktiviti penternakan melalui kaedah sistem penternakan secara tertutup bagi menggalakkan pengurusan ladang yang produktif dan selamat.
Tambahnya, JKSMN yang bersidang buat kali pertama itu adalah bagi mengetengahkan hasrat kerajaan untuk mengambil pendekatan berpaksikan kesinambungan bekalan makanan negara agar kekal terjamin.
“Jawatankuasa ini berperanan dalam merangka dasar dan strategi sekuriti makanan yang lebih holistik dan mampan,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE