fbpx

Kementerian Pendidikan tidak keluarkan ranking sekolah terbaik SPM 2022

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FADHLINA bergambar bersama pelajar anak yatim pada Majlis Jerayawara Pendidikan Madani Pendidikan peringkat negeri Kedah di Alor Setar, hari ini.

ALOR SETAR – Kementerian Pendidikan (KPM) tidak mengeluarkan sebarang ranking sebagai petunjuk prestasi utama (KPI) sekolah terbaik berdasarkan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan, kelmarin.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, setiap keputusan berdasarkan Gred Purata Sekolah (GPS) itu juga bukan dipertandingkan, sebaliknya sebagai sokongan ke arah peningkatan prestasi sekolah berkenaan pada masa hadapan.

“Daripada sudut Kementerian Pendidikan itu bukan satu KPI sebab kita tak pernah sebut tentang ranking ini. Kementerian tidak pernah mengeluarkan ranking tersebut.

“Siapa yang buat ranking itu pun di luar pengetahuan kita (KPM). Sebenarnya tidak ada apa-apa secara rasmi tentang ranking tersebut,” katanya kepada pemberita selepas Jerayawara Pendidikan Madani Pendidikan Peringkat Negeri Kedah di sini hari ini.

Beliau mengulas tentang penularan senarai ranking sekolah terbaik SPM 2022 susulan pengumuman keputusan peperiksaan awam itu sejak kelmarin berdasarkan GPS sekolah-sekolah di seluruh negara.

“Ia bukan untuk dipertandingkan kerana ia adalah untuk melihat usaha yang akan dilaksanakan pada tahun mendatang. Jadi tidak timbul soal ranking dan kita tidak pernah mengeluarkan apa-apa kenyataan mahupun pengesahan tentang ranking tersebut,” ujarnya.

Sehubungan itu, kata Fadhlina, KPM menasihatkan orang ramai terutama ibu bapa supaya tidak terpengaruh dengan ranking tersebut yang disifatkan boleh berubah pada masa akan datang. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI