KUALA LUMPUR – “Sudah tentu saya sedih kerana beliau (Najib) tidak bersama kita,”
Itu reaksi Datin Seri Rosmah Mansor ketika ditanya pengamal media tentang perasaannya apabila hadir ke Perhimpunan Agung UMNO 2023 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) tanpa kehadiran suaminya, Datuk Seri Najib Tun Razak yang kini sedang menjalani hukuman penjara.
Rosmah berkata, apabila berada di PAU dia sering membayangkan bagaimana Najib yang ketika itu menjadi Presiden memberi ucapan dan memikirkan cara untuk membantu rakyat dan negara.
“Kadang-kadang saya juga membayangkan ketika beliau menjadi Presiden bagaimana dia duduk di atas tu (pentas PAU) nak cakap apa lagi dan apa lagi dia patut buat kepada ahli UMNO, orang Melayu dan negara.
“Saya nak bagi tahu bahawa dia (Najib) selalu fikirkan rakyat dan negara. Kadang-kadang saya masuk kereta dengan dia, dia tanya apa perkara yang rakyat dan negara masih tidak cukup,” katanya ketika ditemui di WTC hari ini.
Dalam pada itu, Rosmah juga menyatakan perasaan terharu dengan sokongan yang diberikan ahli UMNO yang masih menghayati perjuangan yang telah diberikan Najib selama ini.
“Saya dapat merasai betapa mereka menghayati perjuangan suami saya dan mereka berharap suami saya dapat dibawa keluar secepat mungkin. Dalam hati mereka selama ini mereka tahu bahawa suami saya tidak mendapat perbicaraan yang adil.
“Jadi semalam adalah satu manifestasi di pihak mereka apabila mereka kata kita inginkan Datuk Najib mendapat keadilan.
“Saya juga ingin ucapkan ribuan terima kasih kepada mereka yang memperjuangkan keadilan di negara ini bukan saja untuk beliau (Najib) tetapi untuk semua orang dalam negara ini,” ujar Rosmah.
Sementara itu, ketika ditanya tentang proses pengampunan suaminya, Rosmah berkata dia tidak mencampuri urusan tersebut. – KOSMO! ONLINE