SEBERANG PERAI – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan mengeluarkan kenyataan berhubung tragedi kematian dan kehilangan peserta Malaysia Everest 2023 (ME2023) selepas semua perkara berkaitan operasi berkenaan selesai.
Menterinya, Hannah Yeoh berkata, pihaknya masih belum bersedia untuk mengulas berhubung isu terbabit susulan operasi masih dijalankan di Nepal.
“Itu saya tak nak komen kerana operasi masih berlangsung dan Wisma Putra juga sedang membantu di luar. Oleh itu, tunggu semua operasi selesai dan kita sudah bersedia, baru kita akan keluarkan kenyataan,” katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas sama ada KBS sudah menjalankan siasatan berhubung isu kematian dan kehilangan pendaki ME2023.
Terdahulu, beliau merasmikan Program Malaysia Aktif di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Bagan Jaya, di sini hari ini.
Mei lalu, media melaporkan pendaki Everest dan penjelajah Grand Slam negara, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin menggesa KBS serta penganjur melakukan siasatan menyeluruh terhadap insiden kematian dan kehilangan pendaki negara di puncak gunung tertinggi dunia itu.
Katanya, itu merupakan insiden kematian pertama sejak misi pendakian Everest Malaysia 1997 sehingga 2023. – KOSMO! ONLINE