KUALA LUMPUR – Jaguh lompat tinggi negara, Nauraj Singh Randhawa mengumumkan persaraannya secara rasmi daripada dunia olahraga selepas 15 tahun bergelar atlet kebangsaan.
Selepas berfikir panjang, Nauraj, 31, akhirnya memutuskan keputusannya untuk menggantung spike disebabkan alasan peribadi dan juga faktor-faktor luaran selain mahu memberikan fokus kepada perancangan masa depannya.
Justeru, pemegang rekod lompat tinggi kebangsaan dengan catatan 2.30 meter (m) itu bersyukur dan menganggapnya sebagai satu penghormatan membawa nama Malaysia meraih pelbagai pencapaian di persada antarabangsa sejak 2008.
“Tiada apa yang saya dapat ungkapkan selain bersyukur dengan pengalaman sepanjang 15 tahun perjalanan ini. Orang saya temui, negara saya lawati dan paling penting adalah pengajaran hidup saya pelajari melalui sukan ini.
“Saya mengambil kesempatan untuk berterima kasih kepada mereka yang menyumbang kepada kejayaan saya walaupun mungkin terlepas beberapa nama yang tidak terlintas dalam fikiran buat masa ini,” katanya.
Antara kejohanan tertinggi pernah disertai Nauraj adalah Sukan Olimpik Rio 2016, Kejohanan Dunia London 2017 dan Oregon 2022, Kejohanan Dalam Dewan Dunia Belgrade 2022, Sukan Universiti Dunia Kazan 2013 serta Gwangju 2015.
Olimpian dari Johor itu juga pernah dua kali ke final Sukan Asia dan dua kali di Sukan Komanwel selain meraih tempat keenam Kejohanan Olahraga Asia Qatar 2019.
Secara keseluruhan, Nauraj merupakan atlet negara pertama beraksi dalam Liga Berlian (Diamond League) di England pada 2021 selain berjaya melakukan lompatan melebihi 2.20m selama 10 tahun berturut-turut.
Dalam masa sama, pemenang tiga pingat emas dan dua perak Sukan SEA dalam tempoh 10 tahun itu turut memegang rekod lompat tinggi dalam dewan kebangsaan dengan catatan 2.27m.
Kejohanan terakhir disertai Nauraj adalah Sukan Komanwel Birmingham 2022 yang menyaksikannya sekadar melepasi had ketinggian 2.05m pada Ogos tahun lalu.
Kini, Nauraj bersedia melepaskan ‘baton’ kepada dua bintang muda negara, Mohamad Eizlan Dahalan dan Farell Glen Felix Jerus yang masing-masing memenangi pingat gangsa Sukan SEA pada edisi Vietnam 2021 serta Kemboja 2023. – KOSMO! ONLINE