LANGKAWI – Dengan sekali lafaz, pasangan pelakon terkenal, Janna Nick, 28, dan Dini Schatzmann selamat bergelar suami isteri dalam sebuah majlis tertutup yang berlangsung di Masjid Aisyah di sini pagi tadi.
Pasangan sejoli itu dinikahkan oleh bapa Janna sendiri, Muner Abdullah bersaksikan Pengerusi Masjid Aisyah, Othman Yahya serta sepupu pengantin perempuan, Amir Fikri dan Amar Fikri.
Pada majlis pernikahan tersebut, Dini turut menyerahkan mas kahwin RM2,703 kepada Janna dan seutas rantai emas.
Jumlah mas kahwin tersebut dipilih sebagai simbolik kepada tarikh perkenalan mereka iaitu pada 27 Mac 2019.
Mengucapkan rasa syukur ke hadrat Ilahi, Dini atau nama penuhnya Dini Azan Schatzmann, 29, teruja untuk memulakan kehidupan baharu sebagai seorang suami.
Dia juga mengharapkan agar setiap langkah mereka melayari bahtera perkahwinan diberkati.
“Alhamdulillah, rasa terpaling bahagia dan lega apabila majlis pernikahan ini sudah selesai dan berjalan lancar.
“Maka bermulalah perjalanan baharu kami sebagai suami isteri,” katanya.
Dia berkata, majlis yang lebih tertutup dipilih kerana mahukan sesuatu yang privasi bersama keluarga dan teman rapat.
“Kami memang merancang perkahwinan yang bersifat peribadi dan privasi. Lebih bermakna
untuk keluarga kami.
“Perkahwinan adalah sekali seumur hidup dan kami mahu jadikan majlis ini sesuatu yang indah
sebagai memori kami berdua,” ujarnya.
Dini berkata, mereka memilih lokasi Koh Lipe, Thailand sebagai lokasi bulan madu.
“Kami tidak sempat untuk merancang berbulan madu di destinasi lebih jauh kerana penggambaran drama sudah bermula.
“Tetapi kesempatan bercuti ini kami tetap bercuti bersama di Koh Lipe. Ini adalah destinasi bulan madu pertama kami,” tuturnya.
Janna dalam pada masa sama turut berkongsi perasaan gementar dan risau untuk melangkah
ke alam perkahwinan.
“Ini adalah satu fasa dan langkah terbesar sepanjang 28 tahun usia saya. Mengubah status daripada solo kepada isteri dan insya-Allah, seorang ibu.
“Saya juga mahukan satu majlis yang lebih dekat dengan saya sebagai Nurul Jannah. Meraikan fasa baharu saya bersama keluarga tercinta dan rakan-rakan,” ujarnya.
Bercakap tentang kerjaya seni dan soal perancangan zuriat, Janna berkata, mereka bakal meneruskan kerjaya seni dan bersedia sekiranya dikurniakan rezeki untuk menimang cahaya mata.
“Kita serahkan kepada Allah. Jika rezekinya awal, Alhamdulillah. Kami terbuka dan bersedia.
“Sekiranya ada rezeki, mungkin saya akan mula memperlahankan kerjaya seni dan fokus kepada perancangan keluarga,” kongsi pelakon filem Juang itu.
Majlis yang mendapat sentuhan rekaan The Calla itu dihadiri oleh ahli keluarga, rakan selebriti dan sahabat karib pasangan dua sejoli tersebut.
Antara rakan artis yang hadir ke majlis tersebut adalah Izzue Islam, Nora Danish, Ain Edruce, Puteri Sarah Liyana, Nadia Brian, Mawar Rashid, Dayah Bakar dan ramai lagi.
Sementara itu, majlis resepsi pasangan tersebut bakal diadakan di sebuah resort terkemuka di Langkawi.
Sebelum itu, majlis doa selamat dan bacaan yassin yang turut dihadiri penceramah, Ustaz Wadi Annuar dan rakan-rakan artis serta ahli keluarga kedua-dua belah mempelai dalam sebuah majlis malam tadi.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan Janna dan Dini bakal melangsungkan pernikahan pada tarikh 10 Jun dan memilih sebuah resort mewah di Pantai Cenang Langkawi sebagai lokasi hari bersejarah mereka.
Sumber memberitahu, pihak aktres asal Sungai Petani itu hadir ke Pejabat Agama Daerah Langkawi bagi menghantar borang pernikahan.
Pada Januari lalu, hubungan cinta pasangan tersebut didakwa terlerai namun kedua-duanya tidak pernah menafi mahupun mengulas perkara tersebut. – KOSMO! ONLINE