fbpx

Tawar prestasi, perkhidmatan bukan sentimen – Amirudin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Amirudin (tengah) semasa melancarkan jentera pilihan raya AMK dan Wanita Keadilan Selangor, malam tadi. Foto oleh SADDAM YUSOFF/ KOSMO!

KUALA SELANGOR – Prestasi dan perkhidmatan kepada rakyat Selangor diutamakan berbanding menggunakan sentimen anak jati Selangor sebagai calon Menteri Besar dalam kempen seperti dilakukan Perikatan Nasional (PN).

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, PN juga gagal berhujah mengenai dasar bermanfaat kepada rakyat negeri ini.

“Yang ada (hujahan) pun tak jelas, maklumat tidak lengkap. Tetapi apa yang kita (Pakatan Harapan) tawarkan adalah perkhidmatan.

“Sejak dari awal kita bergantung kepada prestasi dan sentimen itu saya percaya bukan petunjuk dan memberikan faktor terlalu besar,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melancarkan jentera Pilihan Raya Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita Keadilan Selangor di sini, malam tadi.

Sebelum ini, Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menawarkan calon anak jati negeri Selangor yang mempunyai kewibawaan untuk memimpin negeri ini pada Pilihan Raya Negeri (PRN).

Kata Amirudin yang merupakan Menteri Besar Selangor, pihaknya mempunyai keyakinan memenangi PRN Selangor berdasarkan sokongan dan maklum balas diterima sepanjang siri jelajah termasuk Kita Selangor dan Selangor penyayang dilakukan sebelum ini.

Ujarnya, berdasarkan data juga mendapati lebih 70 peratus rakyat negeri ini sama ada Melayu, Cina dan India menyatakan berpuas hati dengan hala tuju pentabiran kerajaan negeri.

“Sangat positif, hatta kawasan Sabak Bernam yang sebelum ini agak malu-malu (menyokong PH). Dengan ada pergerakan (gabungan PH dan Barisan Nasional) antara kerajaan perpaduan memberikan tambahan nilai yang baik.

“(Kalau dikatakan sentimen kaum Melayu berubah menyokong PN) Kita juga masih menang dengan jumlah besar (pada Pilihan Raya Umum ke-15) . Kalau kemenangan dan hubungan dengan BN dapat diserasikan akan memberikan kelebihan kepada kita. Sekarang ini kerjasama, kepercayaan dan strategi yang betul akan menjadi teras kepada prestasi pada PRN akan datang,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI