KUALA LUMPUR – Pemain skuasy negara, Ng Eain Yow berpeluang cerah mempertahankan statusnya sebagai juara Asia apabila mengesahkan tempat ke pentas final Kejohanan Skuasy Individu Asia (AIC) 2023 di Hong Kong.
Eain Yow menepati ramalan sebagai pilihan utama apabila berjaya menempah slot itu selepas menewaskan wakil Hong Kong, Henry Leung 11-5, 11-8, 12-10 dalam tempoh 43 minit aksi separuh akhir hari ini.
Pemain di ranking ke-17 dunia itu akan berdepan V. Senthilkumar dari India pada aksi final esok dalam misinya mempertahankan kejuaraan dimenangi pada edisi lalu di Islamabad, Pakistan.
Senthilkumar yang menduduki ranking ke-115 dunia melakar kejutan menewaskan seorang lagi wakil negara, Ivan Yuen 11-4, 11-6, 8-11, 11-7.
Begitupun, kem negara tetap ceria apabila turut mempunyai wakil di pentas final kategori wanita menerusi S. Sivasangari selepas mengejutkan pilihan pertama, Satomi Watanabe dari Jepun 11-9, 14-12, 11-8.
Sivasangari yang kini berada di kedudukan ke-50 dunia, bakal berentap dengan wakil Hong Kong, Chan Sin Yuk di final esok selepas lawan itu menewaskan rakan senegaranya, Ho Tze-Lok 7-11, 11-5, 11-5, 11-7.
Kini, Sivasangari berpeluang menamatkan penantian Malaysia yang kali terakhir menjuarai kejohanan itu menerusi legenda skuasy negara, Datuk Nicol Ann David pada 2015. – KOSMO! ONLINE