fbpx

229 atlet UPM terima perlindungan Perkeso

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
LAPAN atlet daripada kumpulan pertama UPM hadir menerima Nota Perlindungan SKSPS Perkeso pada majlis yang diadakan di universiti berkenaan hari ini. - AKADEMI SUKAN UPM

SERDANG – Seramai 229 atlet Universiti Putra Malaysia (UPM) menerima Nota Perlindungan Skim Keselamatan Pekerjaan Sendiri (SKSPS) Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dalam majlis yang diadakan di universiti berkenaan hari ini.

Caruman itu membolehkan atlet-atlet UPM menerima beberapa faedah disediakan Perkeso seperti perubatan, hilang upaya sementara, hilang upaya kekal, orang tanggungan, layanan sentiasa, pengurusan mayat, pemulihan jasmani atau vokasional dan pinjaman pendidikan.

Lebih membanggakan, UPM menjadi universiti pertama di Malaysia menerima tajaan caruman SKSPS membabitkan sektor sukan demi menjaga kebajikan atlet yang sebelum ini banyak mengharumkan nama universiti.

Akademi Sukan sebagai peneraju dalam usaha sama itu telah berjaya mengumpulkan atlet yang melanjutkan pengajian masing-masing di UPM untuk mendapatkan faedah yang disediakan oleh pihak Perkeso, sekaligus menjadi pelan pelindungan terbaik kepada mereka.

Naib Canselor UPM, Prof. Datuk Dr. Mohd Roslan Sulaiman berkata, UPM dipilih untuk menerima tajaan daripada pihak YAPEIM melalui pihak Perkeso sebanyak RM69, 607.20 bagi membiayai SKSPS di bawah inisiatif Kumpulan Sasaran SPS Sukan.

“UPM menghargai usaha pihak Perkeso dalam mencari penaja bagi membantu membiayai caruman khususnya pada atlet UPM dan saya berharap kerjasama ini akan berterusan pada masa akan datang.

“Tempoh perlindungan untuk 229 atlet UPM ini adalah selama setahun yang bermula pada 14 Februari 2023 sehingga 13 Februari 2024,” katanya dalam teks ucapan yang dibacakan Pengarah Akademi Sukan UPM, Prof. Madya Dr. Tajularipin Sulaiman.

11 atlet daripada senarai 229 itu beraksi pada Sukan SEA Kemboja 2022 baru-baru ini seperti empat pemain hoki, Nor Asfarina Isahyifiqa Isahhidun, Nurul Faezah Shafiqah Khalim, Kirandeep Kaur Gurdip Singh dan Mughni Mohamad Kamal.

Empat lagi daripada sukan olahraga seperti pemegang rekod lontar peluru wanita kebangsaan, Nani Sahirah Maryata, Queenie Ting Kung Ni, Azreen Nabila Alias dan Muhammad Fakhrulrazi Jailani.

Baki tiga lagi merupakan atlet karate, Siti Nur Azwani Nor Azli dan dua pemain bola tampar dewan, Goh Chiao Huey serta Irene Siah Qi Min.

Sementara itu, Timbalan Ketua Eksekutif Bahagian Operasi, John Riba Marin berkata, UPM merupakan antara Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) terbaik yang menyediakan rujukan utama Program Pembangunan Sukan Berprestasi Tinggi kepada golongan atlet.

“Dedikasi dan semangat yang ditunjukkan oleh pengurusan tertinggi UPM telah membuktikan bahawa kita semua senada dan mengambil berat terhadap perlindungan keselamatan sosial dalam kalangan atlet UPM ini,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI