KUALA LUMPUR – Permohonan pendaftaran keahlian baharu UMNO boleh dilakukan secara dalam talian apabila pindaan perlembagaan parti berhubung Fasal 5 telah dipinda di Perhimpunan Agung Khas UMNO hari ini.
Fasal 5 membabitkan peruntukan berkenaan pendaftaran keahlian yang mempunyai 12 perkara.
Manakala dua fasal lagi yang turut dipinda adalah Fasal 10 yang memperuntukkan tanggungjawab Majlis Kerja Tertinggi dan Fasal 18 yang memperuntukkan Jawatankuasa Cawangan telah dipinda.
Cadangan pembentangan fasal tersebut telah dibacakan oleh Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di Dewan Merdeka, hari ini.
Mohamed Khaled berkata, pindaan Fasal 5 dicadangkan dengan tujuan menambahbaik dan memperkemaskan proses permohonan keahlian.
“Sebahagian besar peruntukan ini bersifat pentadbiran atau administratif yang berkaitan dengan proses permohonan menjadi ahli UMNO.
“Melalui pindaan yang akan dilakukan, selepas ini semua perkara berkaitan dengan keahlian UMNO akan dipindahkan ke dalam satu peraturan baharu yang akan dikeluarkan oleh Majlis Kerja Tertinggi (MKT),” katanya di Perhimpunan Agung UMNO 2023 (PAU2023) di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur.
Terdahulu, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, pindaan itu membolehkan fasal keahlian dijadikan satu peraturan dalam parti.
Tambah Mohamed Khaled, peraturan-peraturan berkaitan keahlian UMNO, seperti juga peraturan-peraturan parti yang lain, akan lebih mudah untuk dikemaskini, atau dipinda apabila wujudnya keperluan.
“Apabila pengenalan peraturan ini berada di bawah kuasa MKT, sebarang pindaan dan kemaskini tidak memerlukan pindaan perlembagaan UMNO.
“Seperti yang kita tahu, pindaan sebarang peruntukan dalam Perlembagaan adalah proses yang memerlukan AGM/EGM, undian dan memakan masa,” jelas Mohamed Khaled.
Dalam pindaan Fasal 5.2 dipinda bagi membolehkan MKT berkuasa membuat sebarang peraturan atau arahan berkenaan tatacata bagi pendaftaran keahlian UMNO.
Sementara itu, kesemua fasal bermula Fasal 5.3 hingga Fasal 5.8 akan dikeluarkan daripada peruntukan dalam Perlembagaan dan akan dipertimbangkan ke dalam peraturan yang akan dikeluarkan kelak.
Tambah Mohamed Khaled, bagi Fasal 5.9, ia akan dikekalkan dan akan menjadi Fasal 5.3 yang baharu seterusnya, Fasal 5.10 dan Fasal 5.11, kedua-duanya juga akan dimansuhkan.
Manakala, Fasal 5.12 akan dikekalkan dan menjadi Fasal 5.4 yang baharu sementara Fasal 5.1 tiada pindaan dibuat dan dikekalkan.
Ujar beliau lagi, pindaan fasal kedua melibatkan pindaan Fasal 10.6 yang memberikan tanggungjawab MKT untuk menentukan taraf pendaftaran seseorang ahli, menggantung ataupun melucutkan keahlian ahlinya.
Fasal terakhir adalah pinddan terhadap Fasal 18.12.9 yang memperuntukkan agar Jawatankuasa Cawangan mengumpul dan menyediakan senarai pendaftaran ahli biasa UMNO yang baru serta melaporkannya kepada Jawatankuasa Bahagian atau Majlis Kerja Tertinggi. – KOSMO! ONLINE