fbpx

Presiden Masca letak jawatan serta-merta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MICHAEL melepaskan jawatannya sebagai Presiden Masca berkuat kuasa serta merta gara-gara kecewa dengan layanan terhadap persatuan sukannya.

PUTRAJAYA – Presiden Persatuan Kanu Malaysia (Masca), Datuk Michael Wong Meng San membuat keputusan mengejut apabila melepaskan jawatannya berkuat kuasa serta-merta hari ini.

Keputusan itu dibuat selepas terlalu kecewa dengan layanan suram terhadap sukan tersebut termasuk keputusan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) berhubung penyertaan ke Sukan Asia Hangzhou, China pada September depan.

Menurut Michael, pihaknya dimaklumkan oleh MOM sewaktu Mesyuarat Pra Pemilihan pada Isnin lalu bahawa kontinjen negara tidak akan menghantar atlet kategori B, sebaliknya yang berpotensi memenangi pingat sahaja ke Sukan Asia Hangzhou.

Berita itu ternyata sukar diterima oleh Michael yang merasakan skuad perlumbaan bot tradisional (TBR) negara menepati kriteria beraksi atas tiket kategori B.

Menurutnya, sukan-sukan yang bukan berpotensi pingat tetap boleh menyertai dengan syarat harus mengeluarkan perbelanjaan sendiri dan menuntutnya semula kepada MOM jika berjaya memenangi pingat emas.

“Saya dimaklumkan ini adalah arahan kerajaan kerana kita kalah teruk ketika Sukan SEA Kemboja. Bagi saya, tidak adil kerana atlet-atlet kini menjadi mangsa di atas kekalahan tersebut.

“Kalau guna arahan kerajaan adalah sangat bahaya, dahulu kategori A dan B tetapi semasa hari temu duga kami bersama MOM, hanya ada kategori A, kemudian saya dapat dengar wujud pula (kategori) B1, B2.

“Saya tidak boleh bekerjasama dengan gaya dan modul sedang dilakukan kementerian ataupun pengurusan ahli jawatankuasa yang dilantik, jadi saya secara rasmi meletakkan jawatan serta merta,” katanya pada sidang media khas di Kelab Tasik Putrajaya hari ini.

Dalam masa sama, Michael menegaskan, beliau tidak akan membuat rayuan kepada MOM dan mendakwa lebih baik bubarkan sahaja sukan itu jika terus diberikan layanan kelas kedua.

“Selama ini saya keluarkan duit saya sendiri, ratusan ribu, saya tengok atlet saya berlatih, tiada satu bantuan, saya terasa untuk membantu mereka. Namun, setiap kali mesti ada perkara yang berlaku,” jelasnya.

Sementara itu, Michael menyifatkan tindakan MOM memberikan tempoh 10 hari sehingga 20 Jun ini kepada skuad TBR menyertai mana-mana kejohanan bagi mencipta catatan masa lebih baik untuk ke Sukan Asia Hangzhou sebagai tidak masuk akal. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN