SHAH ALAM – Seorang bekas pemandu lori diperintah membela diri oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini atas tuduhan membunuh isteri dan anak perempuannya empat tahun lalu.
Hakim, Datuk Mohd. Yazid Mustafa memutuskan demikian terhadap Satvender Singh, 34, selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie di akhir kes pendakwaan.
Mohd. Yazid menegaskan elemen-elemen penting dalam pertuduhan berjaya dibuktikan menerusi 16 orang saksi pendakwaan yang dikemukakan sepanjang perbicaraan tersebut.
Jelas beliau, ini termasuk keterangan pegawai Jabatan Kimia mendapati terdapat asid deoksiribonukleik (DNA) milik tertuduh pada kuku mangsa (isteri).
“Keterangan pegawai penyiasat Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut kukuh apabila tiada berlaku kejadian pecah rumah dengan pintu belakang terbuka semasa bapa mertua mangsa datang ke rumah dengan tiada kesan umpil pada jeriji dan pintu besi.
“Polis turut menyimpulkan adalah mustahil untuk menggunakan pemotong besi daripada luar untuk memotong mangga yang digunakan pada pintu belakang berkenaan kerana lubang yang wujud di situ adalah kecil,” katanya.
Mengikut pertuduhan, Satvender didakwa membunuh D. Kamaljit, 34, dan bayinya, Ishilyn Kaur Sandhu, di sebuah rumah teres dua tingkat di Taman Rawang Perdana 2, Rawang antara pukul 3.55 pagi hingga 4.15 pagi, 14 April 2016.
Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati, jika disabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mahadhir Mohd. Khairudin manakala tertuduh diwakili oleh Datuk Rajpal Singh.
Mahkamah kemudian menetapkan tarikh perbicaraan pembelaan pada 7 dan 8 September depan.
Sementara itu, Rajpal ketika ditemui selepas prosiding itu memaklumkan anak guamnya akan memberikan keterangan bersumpah daripada kandang saksi. – K! ONLINE