KLANG – Empat remaja lelaki termasuk tiga pelajar sekolah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, atas pertuduhan mencederakan seorang gelandangan di sekitar daerah ini, bulan lalu.
Tertuduh, Chan Jia Jing, 19, dan tiga remaja berusia 16 tahun membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret P. Sarulatha.
Mereka didakwa secara sengaja menyebabkan kecederaan parah ke atas seorang lelaki berusia 67 tahun di kaki lima sebuah pasar raya di Jalan Lebuh Berangan, Pelabuhan Klang, kira-kira pukul 3.30 pagi, 8 Mei lalu.
Sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun dan denda mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan.
Timbalan Pendakwa Raya Nurul Jannah Aimi menawarkan ikat jamin RM4,000 dan syarat tambahan tertuduh tidak menganggu mangsa.
Peguam Tham Weng Kin mewakili kesemua tertuduh bagaimanapun memohon pengurangan kerana semua anak guamnya itu masih dalam tanggungan keluarga dan Sarulatha membenarkan jaminan RM2,000 bagi setiap tertuduh serta menetapkan sebutan semula kes pada 28 Julai depan.
Kosmo! sebelum ini melaporkan empat remaja lelaki diberkas selepas video aksi mereka memukul gelandangan dengan besi pemukul tular di laman sosial. -KOSMO! ONLINE