SHAH ALAM – “Saya tidak mahu komen dan tunggu saja pengumuman jika perkara itu benar berlaku,”.
Demikian kata pelakon dan pengarah, Datuk Seri Eizlan Yusof mengenai ura-ura bakal menyertai Perikatan Nasional (PN) di bawah tiket Pas.
Perkara itu susulan gambar tular beliau bersama beberapa figura politik dari PN dan Pengerusi Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Annuar Musa, sejak beberapa minggu lalu.
Eizlan, 51, yang juga Ketua Penerangan MN Selangor berkata, dia ketika ini hanya melaksanakan tanggungjawab atas kepercayaan diberikan Annuar.
“Saya kini bersama MN yang berperanan sebagai platform pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi program ke arah kemuafakatan, perpaduan dan tanpa bersifat perkauman.
“Berkaitan perkara itu (sertai Pas), tiada apa-apa komen setakat ini,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Tambah beliau, jiwa NGO dalam dirinya timbul selepas melihat Pengerusi MN itu serius mempromosikan perpaduan ummah dan menjunjung keutuhan sistem politik negara yang lebih baik.
Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU) lalu, Eizlan bertanding di kerusi Parlimen Sabak Bernam atas tiket Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), namun tewas kepada calon PN, Kalam Salan. – KOSMO!ONLINE