fbpx

PRN: 95 peratus pembahagian kerusi Selangor selesai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Amirudin ketika sidang akhbar tersebut. FOTO SADDAM YUSOFF

SABAK BERNAM – Proses pembahagian kerusi antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor sudah 95 peratus selesai.

Pengerusi PH Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, hanya tinggal antara dua atau tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Kuala Selangor yang memerlukan perbincangan rapi.

“Untuk kawasan Selangor Utara dari Sabak Bernam ke Kapar sudah selesai, mungkin satu kerusi lagi.

“Ini menunjukkan kelicinan kita dalam pembahagian kerusi di Selangor Utara yang dikatakan kubu kuat Perikatan Nasional. Jadi, saya rasa mempunyai potensi untuk menang yang besar,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis pengenalan Pembangunan Kawasan Sabak Bernam, di sini hari ini.

Kata beliau, mesyurat PH pada Rabu lalu sudah memuktamadkan pendirian PH dan hanya menunggu kata putus daripada Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi).

Mengulas mengenai pembubaran DUN selepas Pulau Pinang dan Negeri Sembilan masing-masing mengumumkan 28 dan 30 Jun sebagai tarikh pembubaran, Amirudin yang juga Menteri Besar Selangor menjelaskan mempunyai beberapa pilihan tarikh pembubaran itu.

Tambahnya, beliau akan merujuk kepada Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang telah bertemu dengan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah baru-baru ini.

“Namun kuasa (memohon pembubaran DUN) masih Menteri Besar. Kita sudah ada beberapa option tarikh dan yang pastinya kita akan cuba buat sebelum 25 Jun ini yang merupakan tarikh automatik bubar dun.

“Yang pohon Menteri Besar dan yang lulus atau perkenankan adalah Tuanku (Sultan Sharafuddin). Kedua-duanya belum berlaku. Jadi apa-apa tarikh adalah bayangan atau tak betul,” tegasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI