fbpx

Air Sungai Melaka bertukar ‘teh tarik’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sungai Melaka bertukar menjadi teh tarik sejak pagi tadi

MELAKA – Air Sungai Melaka yang sebelum ini bersih kini bertukar menjadi “teh tarik” dengan permukaan air dipenuhi sampah sarap di sekitar jeti Melaka River Cruise (MRC) di Pengkalan Rama hari ini.

Selain pemandangan yang kurang menyenangkan itu, tinjauan Kosmo! di lokasi mendapati terdapat ratusan ekor ikan “terkandas” di tepi tebing dipercayai mempunyai kaitan dengan pengaruh air laut pada musim air pasang ketika ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pantai dan Sungai Melaka (PPSPM) Datuk Murad Husin berkata, keadaan “teh tarik” itu terjadi selepas air empangan terpaksa dilepaskan bagi mengelak limpahan yang menyumbang kepada berlakunya banjir.

“Air di Empangan Batu Hampar terpaksa dilepaskan untuk mengalir ke MRC dan segala sisa kotoran yang telah mendap sebelum ini akan timbul semula, sekali gus menjadikan air Sungai Melaka menjadi keruh dan kotor.

“Walaupun fenomena kali ini tidak seteruk sebelumnya pihak kami sudah arahkan kerja pembersihan dilakukan segera dengan membuang segala sampah sarap yang dibawa,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Katanya, beliau yakin keadaan air Sungai Melaka akan kembali pulih dalam tempoh terdekat sekiranya cuaca tidak hujan.

“Kalau tiada hujan dalam tempoh sehari dua, air akan kembali bersih seperti biasa.

“Apabila berlaku hujan lebat berterusan di kawasan hulu sungai, air akan turun ke bawah menyebabkan paras empangan tinggi dan terpaksa dilepaskan,” katanya.

Sementara itu, bagi seorang pengunjung, Norhanim Lajim, 30, berkata, dia yang melalui kawasan itu untuk aktiviti berbasikal bersama rakannya terkejut apabila melihat air sungai kotor.

“Boleh dikatakan setiap hari saya akan melalui kawasan ini untuk berbasikal tetapi hari ini memang terkejut melihat keadaan seperti ini.

“Saya juga sedih melihat keadaan ikan yang tercungap-cungap menunggu masa untuk mati,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI